Home Nasional “Bantuan kepada Rohingya bukan pembaziran” – Ronald Kiandee

“Bantuan kepada Rohingya bukan pembaziran” – Ronald Kiandee

Kiandee mendengar penerangan daripada aktivis kemanusiaan Malaysia ketika mengadakan lawatan bersama Delegasi Parlimen di Cox Bazaar, Bangladesh, kelmarin.

DKUALA LUMPUR – Bantuan kemanusiaan dan infrastruktur yang disalurkan Malaysia kepada etnik Rohingya di Bangladesh bukanlah pembaziran.

Sebaliknya, ia merupakan satu bentuk bantuan berperikemanusiaan yang diberi oleh kerajaan dalam membantu mereka yang tertindas, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Menurut Kiandee, tuduhan sesetengah tuduhan yang dilemparkan mengatakan kerajaan membazir duit membina kemudahan seperti hospital medan di kem pelarian di sana adalah kerana mereka tidak melihat sendiri dan melalui keadaan sebenar di sana.

“Ia adalah satu pengalaman berharga buat ahli Parlimen yang menyertai lawatan ini kerana kita mendapat maklumat terus dari lapangan yang mana sebelum ini hanya mendengar dari pihak ketiga.

“Keadaan kehidupan masyarakat di sana jauh daripada yang kita jangkakan, malah lebih teruk daripada apa yang dibayangkan.

“Keadaan khemah yang sama sekali tidak akan mampu melindungi mereka ketika musim hujan yang bakal melanda Bangladesh hujung tahun ini menambahkan lagi kedaifan yang kita lihat, selain itu dari segi kebersihan dan keperluan makanan serta minuman yang sangat kritikal ketika ini.

“Disebabkan itu, kerajaan daripada pelbagai negara termasuk Malaysia terus menyalur bantuan melalui beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM),” katanya lapor sebuah laman portal.

Beliau ditemui media pagi ini sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama anggota Delegasi Parlimen Malaysia dalam rangka lawatan ke kem pelarian etnik Rohingya di Bangladesh.

Dalam pada itu Kiandee berkata, penubuhan infrastruktur seperti hospital medan yang kini 30 peratus siap adalah sumbangan penting bagi Malaysia dalam arena politik antarabangsa dan ia adalah satu tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan untuk menyalurkan sumbangan di peringkat antarabangsa.

Delegasi membabitkan seramai 13 ahli Parlimen terdiri daripada Barisan Nasional (BN), PAS dan PKR mengadakan lawatan ke kem pelarian Rohingya di Bangladesh sejak 24 November lalu, dengan bantuan disalurkan termasuk pembinaan sebuah surau yang mampu memuatkan 300 jemaah dalam satu-satu masa.

Selain itu, bantuan seperti barangan asas seperti makanan kering seberat 25 tan hasil sumbangan syarikat multinasional Halal di Malaysia turut diterbangkan ke Bangladesh untuk membantu meringankan beban ditanggung pelarian Rohingya di sana. – MalaysiaGazette