KUALA LUMPUR – Tindakan membisu DAP yang tidak menegur Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghina bangsa Bugis disifatkan sebagai hipokrit, bidas Gerakan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Liang Teck Meng mempersoalkan tindakan DAP yang selama ini mengatakan mereka anti-perkauman tapi berdiam diri pula dalam isu melibatkan bekas perdana menteri itu.
“Pemimpin-pemimpin DAP masih berdiam diri walaupun kenyataan Tun Dr Mahathir telah mengundang banyak kritikan yang sengit daripada pelbagai pihak, termasuk Perhimpunan Pemuda Bugis Makassar Indonesia, Dewan di-Raja Selangor dan yang terkini oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.
“Ini menunjukan sifat hipokriti DAP yang keji, dwistandard dan tidak ikhlas terhadap antiperkauman,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Teck Meng yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam itu turut mencabar pemimpin DAP di Johor terutamanya wakil rakyat di negeri tersebut supaya mempertahankan kritikan Sultan Johor terhadap kenyataan Dr Mahathir baru-baru ini.
“Saya mencabar pemimpin DAP terutamanya pemimpin dan Ahli Parlimen DAP Johor, Teo Nie Ching dan Liew Ching Tong untuk mempertahankan kritikan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.
“Mereka harus bercakap serupa bikin dengan bangkit bersuara untuk menentang perkauman yang ditunjukkan oleh pemimpin mereka sendiri,” katanya lagi.
De Mahathir sebelum ini yang menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak balik ke Sulawesi, tempat asal bagi mereka yang berketurunan Bugis.
Susulan itu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga dilaporkan murka manakala Dewan di-Raja Selangor mahu satu siasatan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan diambil ke atas Dr Mahathir. – MalaysiaGazette