Home Utama Khairy belum putus pencalonan jawatan presiden FAM

Khairy belum putus pencalonan jawatan presiden FAM

Khairy Jamaludin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin masih belum membuat keputusan sama ada menerima atau tidak pencalonannya bagi merebut jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Khairy berkata masih terlalu awal untuk membuat keputusan kerana beliau perlu mengambil kira semua aspek, antaranya adakah masa mencukupi untuk dirinya jika menjadi presiden FAM berikutan tugasnya sebagai menteri.

“Saya akan bincang terlebih dahulu dengan semua pemegang taruh, wakil dari persatuan bola sepak negeri dan sebagainya…selepas itu barulah saya akan dapat gambaran adakah wajar saya menerima pencalonan memegang jawatan presiden FAM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menggulung perbahasan persidangan ketiga Parlimen Belia Malaysia 2016 di Dewan Rakyat hari ini.

Khairy berkata sehingga kini, beliau tidak mendapat sebarang kenyataan rasmi mengenai pencalonan itu daripada FAM dan hanya mengetahuinya menerusi laporan media, malah tidak meminta untuk pencalonan tersebut.

Laporan media baru-baru ini, menyatakan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) adalah antara anggota gabungan yang mencalonkan Khairy sebagai presiden FAM.

Presiden KLFA Datuk Seri Adnan Md Ikshan berkata keputusan sama ada Khairy sedia bertanding atau tidak pada 25 Mac ini, hanya akan diketahui pada 20 Feb depan, iaitu tarikh akhir untuk sesiapa yang tercalon mengesahkan pendirian mereka dalam pemilihan bagi penggal 2017-2021.

Selain Khairy, menurut laporan media itu, FAM mengesahkan tiga tokoh bola sepak dicalonkan untuk menerajui badan induk tersebut iaitu pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bekas Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM Tan Sri Aseh Che Mat.

Khairy berkata masa untuk memberi perhatian kepada FAM agak suntuk sekiranya dilantik sebagai presiden memandangkan tugasnya sebagai menteri yang bertanggungjawab menguruskan Sukan SEA 2017 dan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Sekiranya Tunku Ismail bersetuju dengan pencalonan ini, saya akan menarik diri dan saya percaya Annuar Musa juga akan mengambil langkah yang sama,” katanya.

Presiden FAM perlu mempunyai pengaruh yang luas dalam komuniti bola sepak tempatan dan memastikan tidak wujudnya perpecahan dan masalah dalam FAM pada masa depan, katanya.

Apa yang penting, keputusan tepat harus dibuat dalam memilih presiden FAM yang baharu kerana peluang untuk mengundi dan memilih kepimpinan FAM tidak datang selalu mungkin hanya 10 tahun sekali, katanya.

Mengenai persidangan ketiga Parlimen Belia Malaysia 2016, Khairy berkata sama seperti tahun sebelumnya, semua perkara dibangkitkan semasa persidangan itu akan diproses dan dijadikan laporan kepada Kabinet sebelum diserahkan kepada mana-mana kementerian untuk tindakan lanjut.

— BERNAMA