Home Politik Tun M ludah ke langit, kena muka sendiri

Tun M ludah ke langit, kena muka sendiri

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail menyifatkan kenyataan Tun Mahathir Mohamad yang mendakwa pendedahan dokumen CIA berkenaan skandal Bank Bumiputera (BMF) seolah-olah ‘meludah ke langit, terkena muka sendiri’.

Menurutnya, sebelum ini, pembangkang sendiri menggunakan sumber-sumber luar, termasuk menggunakan nama Federal Bereau Investigation (FBI) untuk menyerang Datuk Seri Najib Tun Razak.

Namun apabila CIA mendedahkan tentang penyelewengan BMF ketika di zaman pentadbirannya, pandai pula Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu menidakkan perkara tersebut dan mendakwa pendedahan CIA itu juga bermotifkan politik.

“Selama ini kita lihat Tun Mahathir terutama pembangkang, menggunakan sumber luar seperti akhbar Sarawak Report, Wall Street Journal untuk menyerang Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Malah, dulu tersebar luas di media sosial, kononnya FBI sudah memulakan siasatan terhadap Datuk Seri Najib, sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali.

“Tetapi kali ini, bila terkena sendiri batang hidung beliau dengan pendedahan CIA ini, pandai pula pihak Tun Mahathir berkata ini semua satu tuduhan bermotif politik dan sebagainya.

“Apabila beliau dituduh, ini semua bermotifkan politik tetapi apabila orang lain (Najib) dituduh, tuduhan itu jadi betul sedangkan tuduhan terhadap PM itu banyak sekali keraguannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas sekarang, kata Zein Isma, serangan Mahathir dan pihak pembangkang yang menggunakan sumber-sumber luar itu hanyalah serangan yang bermotifkan politik dan kuasa semata-mata.

“Mahu jatuhkan Datuk Seri Najib dengan apa cara sekalipun, termasuklah menjaja fitnah dan tuduhan yang tidak benar kepada rakyat di negara ini,” tegasnya.

Tambah beliau yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Subang, itu memang cara dan pendekatan pembangkang di negara ini untuk menjatuhkan dengan menggunakan sumber-sumber tidak sahih bahkan sanggup memfitnah, asalkan matlamat mereka tercapai.-MalaysiaGazette