Home Nasional MAS batalkan penerbangan ke Bali

MAS batalkan penerbangan ke Bali

Seorang lelaki merakam gambar Gunung berapi Agung di Bali yang jangka boleh meletus bila-bila masa.

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines akan membatalkan kesemua penerbangan Kuala Lumpur – Denpasar (Bali) pada hari ini ekoran meletusnya gunung berapi, Gunung Agung.

Syarikat penerbangan itu dalam kenyataannya berkata, ia akan memantau situasi berkenaan dengan teliti dan akan menyesuaikan operasi penerbangan masuk dan keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai mengikut kesesuaian.

Berikutan itu, Malaysia Airlines membenarkan para penumpang yang terjejas akibat situasi tersebut untuk mendapatkan pulangan wang sepenuhnya atau menangguhkan penerbangan mereka sehingga akhir Februari tahun depan.

Para penumpang juga dibenarkan untuk menukar destinasi (tertakluk kepada kekosongan tempat duduk) ke Jakarta, Surabaya atau mana-mana destinasi ASEAN dalam laluan Malaysia Airlines.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, para penumpang digalakkan untuk menghubungi talian 1 300 88 3000 (dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (luar Malaysia).- MalaysiaGazette