Home Ekonomi Bank Negara mungkin naikkan OPR Januari depan

Bank Negara mungkin naikkan OPR Januari depan

BNM
Bangunan Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – AmBank Research menjangkakan inflasi akan kekal sekitar 4.0 peratus pada 2017 dan 2.5 peratus sehingga 3.0 peratus pada 2018.

Berikutan itu, Ketua Pakar Ekonomi dan Ketua Penyelidik Kumpulan Ambank, Anthony Dass menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata peratus pada Januari 2018 dan satu lagi pusingan dengan kadar yang sama pada suku ketiga.

“Ekonomi berada dalam pulangan negatif sejak Januari 2017 ditambah dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh dan gaji sektor swasta yang sihat, kami menjangkakan BNM akan menaikkan OPR menjadi 3.5 peratus tahun depan,” katanya.

Menurut firma penyelidikan itu, inflasi keseluruhan Oktober meningkat sebanyak 3.7 peratus disebabkan oleh harga barang makanan dan bukan makanan yang tumbuh perlahan, masing-masing sebanyak 4.4 peratus tahun ke tahun dan 3.4 peratus sementara harga minyak melonjak 20.5 peratus berbanding tahun lepas.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, inflasi teras masih kekal stabil pada 2.3 peratus berbanding Oktober tahun lepas dan dijangka meningkat dalam beberapa bulan akan datang didorong oleh KDNK yang semakin kukuh sebanyak 5.9 peratus pada suku ketiga dan kenaikan gaji sektor swasta sebanyak 7.3 peratus pada suku ketiga, menjadikannya peningkatan selama dua suku berturut-turut sejak berlegar-legar sekitar 4 peratus dalam tempoh lima suku sebelumnya.- MalaysiaGazette