Home Nasional Ahli Parlimen PAN tak sokong kerajaan nafi hak penganut fahaman atheis

Ahli Parlimen PAN tak sokong kerajaan nafi hak penganut fahaman atheis

Mohamed Hanifa Maidin

KUALA LUMPUR – Dua Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (PAN) menyatakan pendirian tidak menyokong tindakan kerajaan yang menafikan hak penganut fahaman atheis dengan menindas dan memberi tekanan kepada mereka.

Ahli Parlimen PAN Sepang, Mohamed Hanipa Maidin membidas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebagai tidak faham mengenai hak kebebasan beragama yang termaktub dalam Perlembagaan selepas kenyataannya minggu lepas yang mengatakan penganut atheis tidak ada tempat di Malaysia.

“Saya mengkritik jawapan daripada Timbalan Menteri yang mengatakan atheism tak dilindungi oleh Perlembagaan.

“Saya berpendapat dengan penuh hormat pendapat dia tak betul sebab hak asasi manusia dalam Artikel 11 berkaitan hak kebebasan beragama itu bagi saya merangkumi juga hak untuk seseorang itu menganuti atheism,” kata beliau di Dewan Rakyat hari ini.

Hanipa berkata, isu yang dibangkitkan adalah mengenai kebebasan beragama kerana ia melambangkan tahap toleransi sesebuah negara.

“Isunya adalah freedom of religion, ia melambangkan tahap toleransi kita.

“Kalau kita tak setuju dengan orang menganut atheism sekalipun, kita tak boleh menafikan hak mereka sebab bagi saya agama ini berkaitan dengan inner believe atau kepercayaan dalaman,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen PAN Shah Alam, Khalid Samad juga bangkit menyokong pendirian rakan separtinya dan tidak bersetuju dengan langkah diambil kerajaan yang menyekat penganut fahaman atheism.

“Ini soal kepercayaan, kalau orang tidak percaya kita tidak boleh paksa nak dia percaya.

“Kalau orang tidak percaya Islam itu agama sebenar, kita tak boleh paksa dia percaya,” ujarnya.

Hanipa berkata, beliau sedia dikecam oleh orang ramai ekoran pendiriannya mengenai penganut atheis dan sedia menerima kesannya.

“Selepas ini saya dapat ramalkan puak-puak suci akan bantai kami sebab sokong atheism,” kata Hanipa.

Asraf sebelum ini berkata, kerjasama antara Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri (Jain/Main) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diwujudkan bagi memastikan fahaman tersebut tidak berkembang dan disekat.

Menurutnya, fahaman atheis jelas melanggar Rukun Negara, iaitu kepercayaan kepada Tuhan.

Ujarnya lagi, selain Islam, atheis juga turut memberi ancaman kepada penganut agama lain kerana golongan ini mahu individu yang mempunyai agama supaya tidak mempercayai agama masing-masing. – MalaysiaGazette