KUALA LUMPUR – Selepas 18 tahun bersama Kristal, vokalis Lan, mengesahkan dia mengundur diri daripada kumpulan itu kerana terasa hati dengan tindakan anggota lain yang dikatakan melakukan sesuatu tanpa berbincang dengannya terlebih dulu.
Lan berkata, dia merancang menjadikan projek solonya sebagai sumber pendapatan sampingan selain mahu terus kekal aktif bersama Kristal. Namun dia terkilan apabila anggota lain sepakat merehatkannya malah bercadang mencari vokalis yang baru.
“Selama ini, apa yang mereka buat di belakang saya, tanpa berbincang dengan saya, saya hanya diamkan diri. Saya menjadi orang terakhir yang tahu.
“Apabila saya menyuarakan perancangan projek solo, saya dipersalahkan dan dituduh ‘tunggul’.
“Kalau saya tunggul, sudah 18 tahun saya menjadi tunggul di dalam Kristal. Sebenarnya, projek solo itu bukanlah bererti saya mahu meninggalkan Kristal, malah ada juga anggota lain yang turut buat projek solo. Ini adalah projek sampingan bagi menampung saya dan keluarga, tetapi masih bersama Kristal.
“Apabila mereka menyuarakan untuk merehatkan saya, maka saya akan berehat dan tidak ada lagi perbincangan selepas ini,” katanya, lapor BHOnline.
Baru-baru ini, menerusi laman sosial gitaris kumpulan itu, Rody yang mengeluarkan kenyataan merehatkan penyanyi terbabit. Bukan sekadar itu, malah Kristal turut mengumumkan bakal mencari vokalis baharu.
Pun begitu kata Lan, beliau tidak berdendam dengan kumpulan yang menaikkan namanya itu dan berterima kasih kepada peminat yang memberi spkongan selama ini.
Enggan memanjangkan lagi isu terbabit selepas ini, Lan berkata, apa yang disuarakannya adalah muktamad.
Mengakui akan meneruskan projek solonya selepas ini, Lan memutuskan untuk membawa jenamanya sendiri.
“Sebenarnya saya ada perancangan sempena 20 tahun Kristal, tetapi apabila kemelut ini terjadi, semua apa yang saya rancangkan sudah berakhir.
“Selepas ini saya akan memfokuskan kepada kerjaya seni saya secara solo,” katanya. – MalaysiaGazette