Home Politik Janji pembangkang selesai isu kad pengenalan hanya untuk menang PRU14 – Gerakan

Janji pembangkang selesai isu kad pengenalan hanya untuk menang PRU14 – Gerakan

Kohilan Pillay
Kohilan Pillay

KUALA LUMPUR – “Dulu fitnah kononnya terdapat 300,000 orang India tidak mempunyai kerakyatan negara ini tapi gagal buktikan.

“Sekarang datang satu lagi janji palsu segala masalah kad pengenalan merah masyarakat India akan diselesaikan jika Pakatan Harapan membentuk kerajaan Pusat,”.

Itu reaksi Naib Presiden Gerakan, Datuk A. Kohilan Pillay yang mengkritik Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mat Sabu yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) akan menyelesaikan isu kad pengenalan merah dalam kalangan masyarakat India jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kohilan turut mengecam sikap tidak bertanggungjawab Mat Sabu yang mempersoalkan usaha gigih Barisan Nasional (BN) untuk menyelesaikan situasi tersebut.

“Sikap bias Mat Sabu sekali lagi membuktikan bahawa pembangkang cakap tidak serupa bikin semasa menangani isu yang membabitkan kepentingan awam.

“Pendirian PH sekali lagi bergantung kepada janji kosong yang bertujuan membina sebuah harapan palsu di kalangan rakyat Malaysia.

“Sebelum ini, mereka mendakwa seramai 300,000 orang India di Malaysia tidak mempunyai taraf kewarganegaraan tetapi sehingga kini, tiada sebarang bukti kukuh yang telah dibawa ke depan untuk membuktikan dakwaan mereka.

“Oleh itu, janji mereka yang terkini untuk menyelesaikan isu Kad Pengenalan Merah tidak boleh dipercayai langsung dengan menggadaikan masa depan masyarakat India.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Kohila, kesemua janji yang ditabur PH adalah demi memenangi PRU14 dan menawan Putrajaya yang bersifat pentingkan diri sendiri.

Sementara itu, Kohilan berkata, kerajaan BN telah melancarkan program MyDaftar untuk mendaftarkan orang India yang masih tidak mempunyai kewarganegaraan dan berdepan masalah dokumentasi kerakyatan.

“Banyak lagi rancangan seperti Pelan Tindakan Masyarakat India (MIB), Sekretariat Khas untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED) telah dilancarkan bagi membantu masyarakat India.

“Soalan saya adalah setakat ini apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang untuk pembangunan masyarakat India?

“Setelah PH menguasai Pulau Pinang dan Selangor, ia sepatutnya berusaha membawakan perubahan yang dijanjikan kepada masyarakat India tetapi mereka lebih gemar menuding jari terhadap BN atau menawar janji manis.

“Sehingga kini, Pembangkang tidak pernah mengambil inisiatif untuk tampil ke hadapan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi menangani isu kad pengenalan merah, maka mereka tidak layak mengkritik BN dan sepatutnya mencerminkan diri mereka.” tegasnya. – MalaysiaGazette