SHAH ALAM – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hanya layak melawan Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Demikian ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar sambil menyifatkan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu banyak membantu rakyat negeri itu termasuk jualan ikan murah dan restoran makanan percuma.
“Memanglah (layak lawan) sebab Azmin ini yang layak lawan dia, Jamal saja, bukan standard Azmin nak lawan Datuk Seri Najib. Dengan saya dulu dia (Azmin) ajak lawan di Tanjung Karang, tapi dia nak pergi ke Pekan.
“Sebenarnya Azmin ini Jamal saja standard dia untuk lawan (PRU14). Sebab Jamal pun saya tengok banyak dia tolong rakyat Selangor,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Geran Tahunan Kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor di Hotel Concorde, di sini, hari ini.
Semalam, Jamal selaku Pengerusi Gabungan NGO Malaysia menawarkan diri bertanding di kerusi DUN Bukit Antarabangsa yang kini disandang oleh Menteri Besar, Mohamed Azmin sejak Pilihan Raya Umum (PRU12) pada 2008.
Jamal berkata, beliau merasakan DUN Bukit Antarabangsa itu sesuai untuk ditandinginya memandangkan kerusi itu merupakan kubu kuat menteri besar Selangor.
Menurut Noh, hasrat Jamal itu bertepatan pada masanya apabila ketika ini banyak usaha membantu rakyat yang dihalang oleh kerajaan negeri di bawah kepimpinan Mohamed Azmin.
“Bayangkan nak bagi jual ikan murah pun dapat halangan. Kerajaan negeri kena faham. Kalau projek itu boleh mendatangkan keuntungan mungkin dia boleh halang.
“Tapi kalau projek itu untuk tolong rakyat, untuk kebajikan rakyat, patutnya guna budi bicara sikit untuk kepentingan rakyat,” jelasnya.
Noh berkata lagi, Jamal satu-satunya calon yang layak mencabar Mohamed Azmin memandangkan segala usaha membantu rakyat yang dilakukan Jamal sering mendapat halangan daripada kerajaan negeri.
“Standard dia (Azmin) Jamal saja, sebab Jamal selalu perjuangkan rakyat Selangor dengan apa cara pun.
“Apa yang Jamal buat pun saya tengok kadang-kala banyak dapat halangan juga, jadi eloklah Azmin lawan dengan Jamal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette