Home Dunia China laksana revolusi tandas demi ketamadunan masyarakat

China laksana revolusi tandas demi ketamadunan masyarakat

Xi Jinping

KUALA LUMPUR – China mesti berusaha untuk merevolusikan tandasnya sehingga tugas itu selesai, kata media negara memetik kenyataan Presiden China Xi Jinping.

Usaha itu dibuat untuk meningkatkan industri pelancongan domestik dan meningkatkan kualiti hidup.

Xi melancarkan “revolusi tandas” pada tahun 2015 sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan piawaian pelancongan domestik di China, yang dikatakannya menderita kerana sikap kurang sopan.

“Isu tandas bukan perkara kecil, ia merupakan aspek penting dalam membina bandar dan desa yang bertamadun,” kata Xi, yang dipetik oleh agensi berita rasmi Xinhua.

Sebagai industri baru muncul, pelancongan China memerlukan peningkatan dalam kedua-dua perkakasan dan perisian untuk terus berkembang pesat, kata Xi.

Pentadbiran Pelancongan Kebangsaan China baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk membina dan meningkatkan 64,000 tandas antara 2018 dan 2020.

Tetapi revolusi tandas adalah lebih daripada sekadar memberikan pengalaman pengembara lebih baik; ia juga mengenai mewujudkan masyarakat yang lebih bertamadun, tambah Xinhua.

Sejak berkuasa pada tahun 2012, Xi sering melawat rumah di kawasan luar bandar dan membuat pemeriksaan untuk melihat sama ada penduduk tempatan menggunakan tandas, selain menekankan pemodenan kampung memerlukan tandas yang bersih.

Industri pelancongan China telah menaik taraf 68,000 tandas sejak tiga tahun lalu, 19 peratus daripada tugas tersebut, menurut laporan Xinhua. – MalaysiaGazette