KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bakal mengorak langkah ke peringkat global apabila sedang dalam pelaksanaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Anugerah Sastera Antarabangsa yang berperanan mempromosi serta memartabatkan karya sastera tempatan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, karya tempatan yang dihasilkan oleh rakyat negara ini akan diangkat ke peringkat lebih tinggi seperti Hadiah Nobel, Anugerah Sastera Dublin dan banyak lagi.
“Jawatankuasa Khas ini bertanggungjawab dalam menunjukkan hasil karya kita kepada dunia luar. Inisiatif yang telah diambil oleh DBP harus dipuji.
“Kerajaan sentiasa menyokong usaha seperti ini dan saya akan memastikan dana tahunan diwujudkan bagi menyokong inisiatif murni seperti ini.
“Saya juga ingin sarankan agar karya sastera diterjemahkan dalam bahasa asing dan dipasarkan ke luar negara yang rata-ratanya akan memberi manfaat terutamanya daripada segi pemindahan ilmu pengetahuan berdasarkan keasilian serta mutu karya tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampian Hadiah Sastera Perdana Malaysia bagi tahun 2015 dan 2016 di DBP sebentar tadi.
Mahdzir Khalid menambah, usaha penterjemahan ke peringkat antarabangsa masih berada pada tahap minumum dan hanya tertumpu pada ilmu-ilmu meliputi bidang sains dan teknologi sahaja.
“Saya berasa sedih kerana ianya belum sampai ke tahap yang boleh dibanggakan lagi. Sudah tiba masanya kita menjadi sebahagian daripada warga dunia, karya-karya kita perlu berada dalam lingkungan masyarakat dunia.
“Kita mempunyai koleksi karya sastera tempatan yang banyak namun usaha untuk menterjemahkannya masih sangat sedikit. Saya menyeru kepada semua pihak berwajib, usaha penterjemahan bidang sastera perlu diperhebat,” ujarnya.
Mahdzir turut meminta peranan media konvensional seperti akhbar, majalah dan buku tidak dilupakan apatah lagi kini dunia berada di alaf 21 yang dikuasai oleh kemajuan teknologi seperti telefon pintar.
“Walaupun media sosial bersifat interaktif tetapi saya percaya ia tidak akan dapat mengambil alih kedudukan serta keistimewaan buku,” tegasnya.
Dalam pada itu, Mahdzhir Khalid berkata, DPB tidak harus dilihat sebagai satu-satunya badan yang perlu bertanggungjawab mengiktiraf karya sastera tempatan.
“Badan-badan korporat dan syarikat swasta perlu disepadukan dan terlibat aktif sebagai sebagai rakan sinergi bagi membantu DBP,” katanya. – MalaysiaGazette