KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) siap sedia untuk menggerakkan Pasukan Bertindak Kecemasan yang akan bertugas 24 jam sekiranya banjir musim tengkujuh kali ini bertambah buruk.
Pasukan ini akan membuat penyambungan semula bekalan elektrik yang terputus akibat pokok tumbang, pencawang elektrik dinaiki air dan sebagainya dengan kadar segera sebaik ianya selamat dilakukan, kata Pengurus Besar Kanan (Distribution Network), Bahagian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood.
TNB, katanya juga akan membuka bilik gerakan di negeri-negeri yang terlibat bagi memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini bekalan elektrik.
“Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir dinasihatkan untuk segera menghubungi TNB di talian 15454 untuk tindakan segera kami,” katanya.
Bagaimanapun, jika terdapat pencawang elektrik yang ditenggelami air dan operasinya terpaksa dihentikan, penyambungan semula elektrik hanya akan dibuat selepas keadaan selamat, jelasnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati semasa menggunakan peralatan elektrik sekiranya premis mereka dinaiki air.
“Jangan sesekali menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembab,” tambahnya.
Setelah banjir surut, pengguna dinasihatkan supaya mendapat khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga untuk memeriksa pendawaian di dalam premis yang dinaiki air. – MalaysiaGazette