Home Nasional Pekerja warga Filipina maut kepala tersepit mesin ‘casting’

Pekerja warga Filipina maut kepala tersepit mesin ‘casting’

PULAU PINANG – Seorang pekerja kilang warga Filipina maut selepas kepalanya tersepit pada mesin ‘casting’ di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, Bukit Mertajam, di sini pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa yang berusia 35 tahun dikatakan sedang menyelenggara mesin tersebut bersendirian sebelum tiba-tiba tersepit.

Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 7.13 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian.

Menurut beliau, pasukan penyelamat mengambil masa lebih dua jam untuk mengeluarkan mangsa memandangkan kemalangan yang dihadapi agak teruk dan kerja-kerja menyelamat mangsa turur dibantu juruteknik kilang berkenaan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan dari Hospital Bukit Mertajam dan mayat dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat,” katanya. – MalaysiaGazette