Home Nasional Mangsa banjir diberi tinggal percuma di resort Jamal

Mangsa banjir diberi tinggal percuma di resort Jamal

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berbual dengan salah seorang mangsa banjir di Dewan Sri Bernam, Sabak Bernam semalam,

SABAK BERNAM- Seramai 43 keluarga yang menjadi mangsa banjir di Sabak Bernam diberi penginapan percuma oleh Datuk Seri Jamal Md. Yunos semalam.

Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar itu menawarkan mangsa banjir yang dipindahkan di Dewan Sri Bernam ke Sekin Fisherman Village Resort & Hotel.

Tidak cukup dengan itu, Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO Malaysia memberi sumbangan sebanyak RM200 sehari kepada keluarga terlibat.

“Usaha tersebut dilakukan atas rasa prihatin dengan nasib mangsa yang terpaksa menginap di pusat pemindahan tersebut sejak rumah mereka dilanda banjir sejak empat hari lepas.

“Setiap keluarga akan diberi satu bilik secara percuma sehingga banjir surut termasuk ditampung segala makan dan minum selama menginap di resort tersebut,” kata salah seorang  individu yang rapat dengan Jamal ketika dihubungi hari ini.

Sekin Fisherman Village Resort & Hotel itu tidak lagi beroperasi kerana disita pihak berkuasa tempatan di Sabak Bernam namun difahamkan keadaan biliknya masih elok dan selesa didiami.-MalaysiaGazette