KUALA LUMPUR – Seramai 139 orang pelajar Malaysia masih berada di Bali, Indonesia manakala 16 lagi telah kembali ke Malaysia susulan letusan Gunung Agung di pulau peranginan itu baru-baru ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan memberitahu, kesemua pelajar itu mengikuti program perubatan di Universitas Udayana dan telah berdaftar dengan Education Malaysia (EM) Indonesia.
“Sehingga kini status keberadaan para pelajar yang terlibat adalah selamat memandangkan Gunung Agung berada dalam jarak 61 kilometer dari Denpasar, Bali dan mereka masih menjalankan aktiviti-aktiviti harian seperti biasa,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu berkata, tindakan proaktif telah diambil untuk memastikan kesiapsiagaan EM Indonesia mengaktifkan proses evakuasi sekiranya perlu, melibatkan bantuan logistik kepada para pelajar untuk keluar dari Kepulauan Bali ke kawasan yang selamat seperti Surabaya.
Selain itu, keperluan penginapan sewaktu fasa evakuasi, pengecualian kuliah dan keperluan-keperluan lain bagi menjamin keselamatan para pelajar akan turut diberi perhatian, katanya.
Kenyataan itu memaklumkan ia sedang membuat pemantauan rapi dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPM) cawangan Bali dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta melalui Jawatankuasa Keselamatan yang disertai wakil Konsul Kehormat Malaysia di Bali. – MalaysiaGazette