SINGAPURA – Sebuah trak penunda pesawat terbakar
ketika sedang menarik pesawat Singapore Airlines (SIA) Boeing 777-200 di Lapangan Terbang Changi semalam.
Channel NewsAsia melaporkan, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4 pagi itu bagaimanapun tidak mengorbankan nyawa kerana ketika itu tiada penumpang di dalam pesawat.
Laporan itu menyebut, seorang kru penunda pesawat yang berada di kokpit ketika itu dipindahkan menggunakan gelongsor kecemasan.
“Tiada kecederaan dilaporkan dan kebakaran dipadam oleh Khidmat Kecemasan Lapangan Terbang,” kata seorang saksi yang melihat kejadian itu.
“Singapore Airlines akan berkerjasama dengan pihak berkuasa dan Syarikat Kejuruteraan SIA menyiasat insiden tersebut,” katanya.
Bahagian depan pesawat SIA berkenaan dilitupi warna hitam, kesan kebakaran yang berlaku pada trak tunda. – MalaysiaGazette