Home Dunia Maklumat peribadi lebih 57 juta pengguna, pemandu Uber dicuri

Maklumat peribadi lebih 57 juta pengguna, pemandu Uber dicuri

LONDON –  Syarikat perkhidmatan perkongsian ken­deraan, Uber mendedahkan sebanyak maklumat peribadi lebih 57 juta pengguna aplikasi itu telah digodam seluruh dunia.

Malah di United Kingdom sahaja sebanyak 2.7 juta orang terdedah dengan insiden itu.

Daily Mail melaporkan, insiden itu yang berlaku pada pertengahan 2016 pada awalnya cuba dirahsiakan oleh Uber dengan menggunakan perkhidmatan penggodam.

Rata-rata maklumat peribadi seperti nama, tempat tinggal, nombor telefon alamat e mel serta maklumat lesen memandu pengguna dan pemandu Uber telah digodam sebelum didedahkan baru-baru ini.

Menurut sumber, Uber kemudian bertindak membayar penggodam upahan mereka sebanyak AS$100,000 (RM412,000) untuk memusnahkan data yang dicuri bagi mengelakkan berlaku perkara tidak diingini terutamanya jika maklumat seumpama itu jatuh ke tangan penjenayah.

Kejadian itu kemudian cuba ditutup oleh Uber selama hampir setahun sebelum ketua eksekutif baharunya, Dara Khos­­rowshahi mula menerajui Uber pada Ogos lepas.

Khosrowshashi bukan sahaja bertindak memecat dua pegawai kesemalatan maklumat Uber yang mengetuai tindak balas ter­hadap masalah tersebut selepas didapati tidak gagal memberi ama­ran kepada pengguna malah beliau turut mendedahkan insiden itu kepada media massa.

Menurutnya, beliau terkejut dan terkilan selepas mengetahui tentang kegagalan Uber untuk memberi amaran kepada para pelanggan dan pemandu mereka sekurang-kurangnya untuk tujuan keselamatan.

Bagaimanapun, pada masa yang sama, Uber ketika ini dalam pelaksanaan untuk meningkatkan ciri-ciri keselamatan bagi melin­dungi pengguna dan pemandunya.

“Anda mungkin mahu tahu mengapa hanya sekarang ia di­dedahkan. Saya juga mempunyai soalan yang sama tetapi saya telah melakukan yang terbaik untuk dengan melakukan siasatan menyeluruh tentang apa yang berlaku dan bagaimana pihak pengurusan sebelum ini mengendalikannya.

“Walaupun tidak dapat memadam masa lalu, saya mengambil tanggungjawab mewakili setiap ka­ki­tangan Uber bahawa kami akan belajar daripada kesilapan itu dan berusaha mengubah cara kami ketika ini.

“Kejadian ini tidak sepatutnya berlaku dan saya tidak akan memberi alasan untuknya,” katanya. – MalaysiaGazette