Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao mendedahkan Hindraf cuba memfitnah bahawa dana itu diagihkan hanya kepada usahawan India yang menjadi ahli MIC sahaja.
“Pihak SEED perlu tampil ke depan untuk menjelaskan kebenaran. Fitnah seperti ini jika tidak dijelaskan dengan betul boleh mengelirukan persepsi kaum India terhadap BN.
“Ini kerana BN sudah terbukti begitu komited dalam meningkatkan martabat ekonomi kaum India di negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Ramesh berkata, walaupun Hindraf dilihat seperti sebuah parti kecil dalam kalangan masyarakat India namun pengerusinya, P.Waythamoorthy pernah menyokong BN selepas melakukan protes besar-besaran.
“Dia juga pernah dilantik sebagai Senator dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri tetapi meletakkan jawatan kurang setahun kerana mendakwa BN gagal menunaikan janji membantu masyarakat India.
“Waythamoorthy dikenali ada agenda peribadi ketika menyokong Najib sebelum ini, tetapi selepas agenda beliau gagal dicapai, dia meninggalkan BN dan menyalahkan kerajaan serta perdana menteri dengan tuduhan tidak masuk akal.
“Mereka akan menggunakan isu ini pula untuk menghasut masyarakat India yang kembali yakin dengan BN untuk menaikkan taraf ekonomi masyarakat berkenaan di negara ini,” katanya.
Katanya lagi, Waythamoorthy didakwa suka mengambil kesempatan dan peluang untuk mendapat sedikit kelebihan tanpa mahu berusaha sendiri memajukan parti pimpinannya.
“Empat hari lepas, beliau keluar kenyataan kata mahu bertanding atas lambang Pakatan Harapan dan mahu guna logo Pakatan masa hari mengundi.
“Sebenarnya dia mengharapkan belas kasihan dari pakatan khususnya Mahathir untuk memberikan kawasan kepadanya untuk bertanding.
“Ini kerana beliau takut kalah jika bertanding atas nama parti Hindraf kerana orang India tahu Hindraf tidak membantu menyumbangkan apa-apa,” katanya.
Ramesh turut berkata, Waythamoorthy berharap dapat bertanding dengan bantuan DAP serta mendapat undi untuk menang daripada penyokong DAP kerana tahu Hindraf tiada sokonga yang kuat dari masyarakat India.
“Kalau dia bertanding atas nama Hindraf, Waythamoorthy sudah pasti akan hilang wang pertaruhannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.