KUALA LUMPUR – Impian anak muda ini untuk bergelar seorang hafiz al-Quran tidak sesekali pernah terpadam. Walaupun terpaksa meninggalkan kampung halaman di Myanmar, cinta Abdullah Habi Rahman kepada al-Quran tetap subur dan mekar.
Mula mempelajari dan mendalami al-Quran sejak umur 15 tahun, pemuda itu berdepan situasi getir apabila rumahnya dibakar oleh askar Myanmar.
Semuanya gara-gara etnik Rohingya tidak diiktiraf sebagai rakyat Myanmar dan dia nekad melarikan diri ke Malaysia pada usia 17 tahun selepas hanya sempat mendalami kitab agung itu selama dua tahun.
Bersama 15 rakan lain, dia meninggalkan kedua ibu bapa dan tujuh adik-beradik lain dengan menaiki bot ke Thailand. Dia mempertaruhkan nyawa apabila belayar di dalam bot selama dua bulan dalam keadaan bersesak dengan pelarian yang lain.
“Sampai di Thailand, saya berjalan kaki selama tiga hari tiga malam sebelum sampai ke Malaysia. Apa yang saya ingat, saya sudah sampai di Sungai Petani, Kedah namun sudah terpisah dengan rakan-rakan lain.
“Kemudiannya saya bekerja di Pasar Borong Seri Kembangan, Selangor selama dua tahun sebelum berhenti dan bekerja di kedai makan.
“Ketika di kedai makan, saya selalu bertanya dengan pelanggan di mana tempat saya boleh belajar al-Quran. Alhamdulillah, rezeki saya terbuka luas apabila diterima masuk di Pusat Tahfiz Puncak Jalil sejak Ogos lalu dan kini sudah mampu menghafaz hampir juzuk keenam.
“Lebih terharu dan bersyukur, saya diterima baik dan pihak pusat tahfiz tidak mengenakan sebarang bayaran kepada saya untuk belajar di sini,” katanya ketika ditemui pusat tahfiz itu di sini hari ini.
Abdulllah yang kini berusia 21 tahun memberitahu, peluang kedua yang diberikan Allah SWT ini akan dipergunakan sebaik mungkin untuk bergelar hafiz al-Quran serta berkongsi ilmu dengan orang lain pada masa depan.
“Apabila kita cinta kepada al-Quran, ia akan memberi kekuatan untuk menghafalnya. Namun cabaran paling sukar adalah memastikan semua ayat dari setiap juzuk yang dihafal sentiasa berada di dalam minda.
“Namun atas kesabaran, kesungguhan dan disiplin yang tinggi, tidak mustahil untuk dilakukan,” katanya.
Abdullah menambah, untuk menjadi seorang hafiz al-Quran, dia perlu memiliki hati yang tenang kerana ia akan memudahkan mereka menghafaz kalimah-kalimah suci tersebut.
“Waktu terbaik untuk menghafaz adalah di waktu pagi terutama selepas bangun dari tidur. Ketika itu, pemikiran kita tidak bercampur aduk dengan permasalahan dan otak juga masih segar,” katanya berkongsi rahsia.
Abdullah memberitahu di pusat tahfiz itu, rutinnya bermula seawal pukul 4.30 pagi dengan bangun melakukan solat-solat sunat dan membaca al-Quran sehingga azan Subuh.
“Selepas solat Subuh, semua pelajar akan sambung membaca al-Quran sehingga pukul 8 pagi dan berehat untuk sarapan sebelum menyambung pengajian lagi sehingga pukul 12 tengahari.
“Selepas solat Zohor kami akan memasuki kelas-kelas tajwid, fekah dan bahasa Arab sehingga solat Asar dan selepas itu diberi kelonggaran untuk beriadah seketika.
“Selepas solat Isya, kami akan menyambung menghafaz al-Quran sebelum masuk tidur pukul 10 malam,” katanya yang agak fasih bercakap bahasa Melayu.
Ditanya mengenai perkembangan terkini keluarganya, walaupun sudah terputus hubungan, dia dimaklumkan mereka telah melarikan diri ke Bangladesh sejak awal tahun ini dan dia turut dikurniakan seorang lagi adik dua bulan lalu.
Jelasnya, dia sedih apabila mengenangkan nasib yang dilalui keluarganya selepas tidak tahan lagi diseksa dan rumah mereka musnah dibakar.
“Saya hanya mampu berdoa mereka sentiasa selamat dan berharap kami dapat bertemu semula satu hari nanti,” katanya sayu.
Mengakhiri perbualan, Abdullah mengucap terima kasih pihak pengurusan pusat tahfiz yang memberi peluang kepadanya mencapai impian bergelar hafiz al-Quran tanpa dikenakan sebarang bayaran.
“Terima kasih juga kepada penderma-penderma yang sentiasa memberi bantuan makanan kepada kami di sini,” katanya. – MalaysiaGazette