Home Politik Jatuh bangun negara bergantung kepada keutuhan UMNO – Hishammuddin

Jatuh bangun negara bergantung kepada keutuhan UMNO – Hishammuddin

Hishammuddin Tun Hussein
KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menggesa semua anggota parti itu memahami dan menginsafi perjuangan parti yang telah berusia 71 tahun tersebut kerana nasib agama, bangsa dan negara banyak bergantung kepada keutuhannya.

Dalam temu bual khas bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2017, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, berkata ini kerana dalam tempoh dua tiga tahun kebelakangan ini perjalanan parti sangat mencabar ekoran serangan bertubi-tubi yang dilakukan secara terancang bukan sahaja dari dalam parti tetapi juga dari luar negara.

“Apa yang penting untuk anggota parti, khasnya perwakilan pada perhimpunan ini, ialah beri tumpuan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14… itu perkara yang paling penting. Ketepikan agenda peribadi, sebab itu saya harap tak ada perkara yang menyentuh pemilihan (parti),” katanya kepada sekumpulan wartawan ketika ditemui di pejabatnya di Kementerian Pertahanan, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata tidak ada gunanya jika perwakilan lebih menumpukan soal pemilihan parti kerana jawatan dalam UMNO tidak bermakna sekiranya parti itu serta Barisan Nasional (BN) gagal mendapat mandat yang besar untuk terus menerajui negara ini.

Mengulas lanjut mengenai cabaran yang parti hadapi sepanjang 70 tahun menerajui kepimpinan negara, Hishammuddin berkata keadaan sudah jauh berbeza berbanding pada awal penubuhannya pada 1946 kerana UMNO perlu melalui transformasi politik yang agresif demi menyesuaikan perjuangan mengikut keadaan semasa.

Katanya sebagai sebuah parti yang memperjuangkan bukan sahaja nasib kaum Melayu tetapi turut merentasi agama, bangsa dan ideologi politik, UMNO perlu terus meletakkan dirinya sebagai parti yang relevan serta mampu mengangkat negara ke tahap seterusnya.

Hishammuddin berkata dalam dunia yang penuh dengan ketidaktentuan seperti keadaan ekonomi global yang kurang stabil serta ancaman militan dan ekstremisme, anggota parti serta masyarakat Malaysia secara amnya harus terus menilai keupayaan dan rekod perjuangan UMNO dalam menangani isu-isu yang dibangkitkan.

“Hari ini kita lihat ancaman pengganas seperti Daesh yang semakin berleluasa dan menuntut kesepaduan yang tinggi bagi menangani masalah-masalah itu disertakan pula ketidaktentuan ekonomi dunia dengan harga minyak tak seperti dulu, perkara yang boleh menjejaskan kalau kita tidak fokus. Ia akan menyebabkan perjuangan kita dalam membela bukan sahaja orang Melayu, tetapi juga bangsa lain di negara ini dari segi kos sara hidup, kebajikan, pendidikan akan terganggu.

“Semua itu mesti diselami, difahami dan saya lega kerana sekurang-kurangnya mereka di luar sana masih lagi melihat perjuangan dan kepimpinan yang ditunjangi UMNO dan BN mampu berdepan dengan cabaran-cabaran semasa,” kata Anggota Parlimen Sembrong tersebut.

Dari segi kesiapsiagaan parti menuju PRU akan datang, Hishammuddin berkata di sudut hati beliau terbit kelegaan kerana UMNO sudah melepasi episod mencabar apabila anggota parti dilihat sudah menerima hakikat bahawa beberapa pemimpin kanan yang meninggalkan parti sebelum ini dan menubuhkan parti baharu hanya mementingkan agenda lain.

“Saya lihat keadaan hari ini jauh lebih baik dari apa yang kita lalui dua tiga tahun dahulu kerana pada masa itu timbul tanda tanya, timbulnya perkara-perkara yang membuat ahli kita keliru. Tetapi keadaan kali ini dalam parti cukup kukuh.

“Perhimpunan kali ini merupakan perhimpunan mereka yang dianggap ‘orang-orang UMNO’, kerana berbeza dengan ahli-ahli UMNO, orang UMNO lebih menjiwai, lebih setia kepada parti dan bukannya individu, kerana mereka semua sedar perjuangan kita terhadap agama, bangsa, dan negara jauh melebihi kepentingan diri sendiri,” katanya lagi.

Sebelum mengakhiri bicara, Hishammuddin sekali lagi mengingatkan perwakilan agar menggunakan platform yang diberi untuk mengutarakan soal pokok iaitu persiapan parti dalam menghadapi PRU, bukan membangkitkan perkara yang boleh mengancam imej UMNO serta menimbulkan ketidaksefahaman di antara UMNO dan parti komponen BN lain.

“Orang UMNO ini mana boleh kita nak sekat…tapi kita merayu, jangan kerana nak popular, nak tepukan, nak tunjuk pandai berucap, akhirnya isu-isu (kontroversi) yang dibangkitkan menjadi bahan untuk dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab di luar sana,” katanya lagi.

Untuk perhimpunan kali ini sebanyak 826 usul telah diterima daripada 191 Bahagian Umno dengan 635 usul diterima untuk rujukan, 191 usul diterima tanpa bahas dan tiada usul yang ditolak.

“Usul-usul tersebut merangkumi 238 usul politik, 79 usul ekonomi, 40 usul agama, 97 usul sosial, 114 usul pendidikan, satu usul mengenai pindaan perlembagaan dan 66 lain-lain usul,” kata Hishammuddin yang merupakan Pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Usul Majlis Tertinggi Umno 2017.

Perhimpunan itu akan berlangsung dari 5 hingga 9 Dis ini di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

— BERNAMA