Home Utama Sultan Perak tegur guna kekerasan hingga cemar Islam

Sultan Perak tegur guna kekerasan hingga cemar Islam

Sultan Nazrin pada sambutan Maulidur Rasul 1439H Peringkat Negeri Perak di sini. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
IPOH – Perbuatan segelintir individu dan institusi tertentu di negara ini melakukan pelbagai tindakan hingga mencemarkan kesucian agama Islam ditegur Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, hari ini.

Titah baginda, kaedah soal siasat menggunakan penyeksaan dan penderaan, walaupun demi melindungi Islam, telah menyebabkan kesucian dan nama baik Islam di negara ini semakin tercalar.

“Malaysia adalah sebuah negara yang harum namanya lagi dihormati dalam kalangan negara-negara Islam dan bukan Islam kerana amalan kesederhanaan beragama.

“Kata-kata penghinaan yang diungkapkan dan tindakan berunsur dendam, ugutan, tangkapan, tahanan dengan kaedah soal siasat yang mengandungi elemen-elemen seksaan dan deraan memberi imej tersangat negatif terhadap cara Islam diamalkan di negara ini,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada sambutan Maulidur Rasul 1439H Peringkat Negeri Perak di sini, hari ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Baginda juga bertitah, perbuatan memulau kumpulan atau memutuskan silaturahim hingga enggan menguruskan jenazah hanya kerana perselisihan tafsiran dan pandangan, wajib dihentikan serta dibanteras secara tegas.

“Islam menganjurkan kesederhanaan. Majoriti umat berpegang kepada amalan kesederhanaan wajib bangun bersuara dan jangan sama sekali merelakan untuk ditenggelami oleh kumpulan ekstrem minoriti,” titahnya.

Baginda bertitah, Islam sewajarnya dilindungi dan dikembangkan melalui pendekatan berhemah, secara sopan serta terhormat dan dilaksanakan tanpa paksaan, tekanan atau kekerasan serta perbuatan boleh menjatuhkan aib.

“Islam hendaklah dipertahankan kebenarannya dan dilindungi kesuciannya melalui perbincangan dan penghujahan berdasarkan fakta dan kebenaran dalam semangat yang menghormati kelainan dan perbezaan pandangan,” titah baginda lagi. – MalaysiaGazette