Home Nasional Hanya terima kasih mampu saya ucapkan

Hanya terima kasih mampu saya ucapkan

Anak kepada penerima bantuan rumah program Kasih Latifah Kerajaan Negeri Melaka, Siti Aishah Abdul Razak melihat gambar- gambar proses membaik pulih rumahnya di Kampung Air Molek, Sungai Baru Melaka, Melaka. foto AFFAN FAUZI, 20 NOVEMBER 2017/Ihsan therakyat.com

KUALA LINGGI – “Syukur…syukur sangat, Alhamdulillah. Hanya ucapan terima kasih sahaja yang mampu saya ucapkan,” perlahan tutur Siti Aishah Abdul Razak sambil tersenyum memandang rumah baharunya yang terletak di Kampung Ayer Molek, Masjid Tanah.

Rumah batu bercat putih itu baru sahaja diserahkan kepada ibunya, Zamilah Mohd Nor, 54, seorang ibu tunggal, selepas mengambil masa sebulan untuk dibangunkan.

Sebagai anak sulung, sudah tentu Siti Aishah menarik nafas lega kerana rumah pusaka, tempat ibunya dilahir dan dibesarkan serta menjadi tempat berteduh dia bersama adik perempuannya, Nurliana, 17, sudah digantikan dengan kediaman yang lebih selesa.

Rumah baru itu dibina di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) oleh Lembaga Perumahan Melaka (LPM) di atas tanah asal selepas rumah papan yang sudah usang dirobohkan pada bulan September lalu.

Keadaan rumah yang diberikan daripada Program Kasih Latifah Kerajaan Negeri Melaka kepada penerimanya, Zamilah Mohd Nor di Kampung Air Molek, Sungai Baru Melaka, Melaka. foto AFFAN FAUZI, 20 NOVEMBER 2017/Ihsan therakyat.com

Siti Aishah, 22, berkata, rumah lama yang diduduki bersama ibu dan adik perempuannya sudah berusia lebih 50 tahun.

Dengan usia itu, rumah tersebut mengalami banyak kerosakan terutama pada bumbung hampir roboh, dinding pun tak kukuh dan tandas rosak.

“Kalau musim hujan, kami memang tidak boleh masuk dapur sebab becak, bumbung rumah berlubang-lubang. Tandas rumah kami juga rosak dengan dinding yang sudah terkopak,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Keadaan rumah lama Siti Aishah yang usang dan bocor di sana sini.

Katanya, walaupun rumah itu tidak selamat untuk diduduki namun mereka tiada pilihan  kerana itu sahaja tempat berteduh yang ada.

“Hendak baiki memang mak tidak ada duit. Mak sudah tidak bekerja. Dulu mak jadi pengawal keselamatan tetapi sejak pendengarannya terjejas dan kaki mak sakit, pergerakannya terbatas dan sekarang dia tidak bekerja.

“Kalau hendak tunggu kami baiki rumah dulu, memang tak tahu bila,” kata Siti Aishah yang sudah kematian bapanya kira-kira 10 tahun lalu.

Sesi bertemu ramah bersama penerima bantuan rumah daripada Program Kasih Latifah Kerajaan Negeri Melaka, Zamilah Mohd Nor di Kampung Air Molek, Sungai Baru Melaka, Melaka. foto AFFAN FAUZI, 20 NOVEMBER 2017/Ihsan therakyat.com

Siti Aishah berkata, keluarganya beruntung kerana penduduk dan Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Ayer Molek, Kuala Linggi sentiasa prihatin dengan kehidupan mereka.

Malah, ujarnya, rumah baharu itu adalah hasil usaha JKKK yang memanjangkan keadaan nasib keluarganya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Linggi, AR Ismail Othman, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Alam Sekitar.

Kerajaan Negeri Melaka meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk baik pulih rumah tersebut.

Siti Aishah berkata, beberapa agensi kerajaan telah meninjau keadaan mereka sekeluarga sejak awal tahun ini sebelum kontraktor datang untuk merobohkan rumah lama pada September lalu.

Sesi bertemu ramah bersama anak kepada penerima bantuan rumah daripada Program Kasih Latifah Kerajaan Negeri Melaka, Siti Aishah Abdul Razak di Kampung Air Molek, Sungai Baru Melaka, Melaka. foto AFFAN FAUZI, 20 NOVEMBER 2017/Ihsan therakyat.com

Sebelum ini, pada tahun 2008, Zamilah pernah mendapat bantuan baik pulih rumah di bahagian hadapan rumah papan tersebut.

Kerajaan negeri memberi peruntukan untuk membina sebuah bilik dan ruang tamu yang dibina di bahagian hadapan rumah lama.

Jadi, untuk membangunkan rumah baru, Kerajaan Negeri Melaka memperuntukkan sebanyak RM20,000.

Rumah papan itu dirobohkan sepenuhnya dan dibangunkan dua lagi bilik tidur, dapur dan tandas. Ruang tamu pula disambung daripada ruang tamu lama.

“Saya gembira rumah saya selesa dan cantik, sudah pasti saya tidak akan melupakan jasa-jasa semua pihak yang banyak membantu keluarga saya. Hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya,” katanya.

Mahu lanjut pendidikan

Siti Aishah yang merupakan pemegang diploma Pengurusan Perkhidmatan Makanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, pemberian rumah baru itu cukup melegakannya kerana fokusnya mahu mencari pekerjaan bagi membaiki nasib keluarganya.

Buat masa ini, Siti Aishah bekerja sementara di Sekolah Kebangsaan Othman Syawal sebagai pembantu tadbir rintis.

“Saya sebenarnya sudah mendapat tawaran untuk sambung ijazah tetapi saya tidak ada duit.

“Nak bayar yuran lagi, buku dan sebagainya. Memang kalau boleh hendak teruskan (belajar) tapi tak mengapalah tangguh dulu untuk kumpul duit.

“Ada rezeki saya, Insya Allah,” katanya yang mahu mencari pekerjaan berkaitan dengan pengajian diplomanya. – MalaysiaGazette