KUALA LUMPUR – Penerbangan AirAsia ke Bali kini dihadkan dari Denpasar berikutan juruterbang tidak dapat mengesan sebarang perubahan dalam awan abu pada sebelah malam kerana tidak dapat dilihat dalam kegelapan disebabkan oleh keadaan angin.
“Kami memutuskan penerbangan mana yang akan beroperasi berdasarkan kepada awan abu dan ramalan cuaca daripada dua vendor antarabangsa serta notis dan nasihat yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan,” kata Pengarah Operasi Penerbangan Kumpulan AirAsia Adrian Jenkins dalam satu kenyataan hari ini.
Ia bagi memastikan keselamatan penumpang dan kakitangan serta untuk meminimumkan sebarang kemungkinan gangguan perkhidmatan seperti pembatalan penerbangan secara tiba-tiba atau peralihan di udara yang boleh berlaku berikutan pergerakan awan, katanya.
“Setiap penerbangan akan membuat penilaiannya sendiri dan bagi kami, kami mahu paras toleransi sifar. Keselamatan kekal keutamaan kami dan kami akan terus memastikannya dalam operasi kami,” katanya. – Bernama