KUALA LUMPUR – Seorang penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) di Selangor kehilangan RM3,000 yang diperuntukkan sebagai kos pengajian dan kehidupan apabila dia terjerat oleh panggilan daripada ‘polis dan mahkamah.’
Sinchew Daily melaporkan, mahasiswi jurusan sains makanan itu menerima panggilan daripada ‘Mahkamah Tanah Merah’ pada Khamis yang meminta dia bertandang ke mahkamah kerana isu kad kredit.
Menjelaskan dirinya tidak pernah memohon kad kredit, mangsa berumur 23 tahun berasal dari Ipoh itu kemudian diminta untuk menghubungi polis berdasarkan nombor yang diberikan.
‘Polis Tanah Merah’ yang dihubunginya bagaimanapun mendakwa dia dikaitkan dengan pengubahan wang haram sindiket dadah dan dia ‘disoal siasat’ selama 45 minit.
“Saya diarahkan untuk bercakap dalam tempat yang tiada orang dan mereka menakutkan bahawa akan menahan saya kerana bersubahat dengan sindiket dadah.
“Saya sangat takut pada masa itu, malahan sampai terlewat untuk menduduki peperiksaan universiti,” katanya.
Dalam ketakutan, mangsa memindahkan duit kepada penipu berkenaan yang bertutur dalam bahasa Malaysia.
“Semasa membuat laporan polis pada Jumaat, saya diberitahu bahawa seorang mangsa lain turut melaporkan kejadian seumpama.
” Saya tidak mengharapkan wang saya dapat dikembalikan, cuma saya berharap kejadian saya dapat menjadi iktibar kepada orang lain,” katanya. – MalaysiaGazette