Home Politik Khalid sedia bantu UMNO, Pas di Selangor

Khalid sedia bantu UMNO, Pas di Selangor

Khalid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedia membantu serta bekerjasama dengan UMNO dan Pas di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Abdul Khalid berkata, ini kerana beliau sentiasa menyokong segala usaha untuk memperkasakan perpaduan umat Islam di negara ini lebih-lebih lagi melibatkan parti pemerintah.

“Saya akan kerja untuk tolong UMNO, saya juga beritahu rakan-rakan dalam PAS. Saya beritahu rakan-rakan PAS yang telah menolong saya.

“Saya tolong juga mereka untuk penyatuan ummah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen UMNO Selangor 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bercakap pada sidang media selepas Kovensyen UMNO Negeri Selangor 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 02 DISEMBER 2017

Beliau juga berkata, hasratnya itu mahu melihat UMNO dan Pas mengekalkan hubungan atau kerjasama politik itu dengan agenda utama bagi memastikan kemajuan berterusan untuk rakyat Selangor.

“Sebab itu saya bersedia bekerjasama dengan UMNO Selangor, Barisan Nasional (BN) atau sesiapa saja demi kepentingan rakyat Selangor.

“Kerjasama ini adalah terbaik untuk rakyat Selangor. Saya akan menggunakan pengalaman dan kemesraan saya dengan rakyat Selangor supaya mereka dapat memilih parti yang boleh menerajui negeri ini dengan baik,” jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan itu juga mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik dan lebih selesa berada di atas platform wakil rakyat bebas.

“Saya masih ahli Parlimen Bebas kerana ada baiknya saya bergerak dengan kebebasan itu orang tidak khuatir tentang tujuan saya dan parti saya adalah rakyat Selangor.

“Saya juga tidak akan bertanding pada PRU14 dan ia memudahkan saya untuk membantu UMNO dan Pas di Selangor demi perpaduan ummah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.