SELAYANG – UMNO mencabar Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil tindakan undang-undang ke atas Agensi Perisikan Pusat (CIA) berhubung pendedahan skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF) sekitar 1980-an.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, menafikan saja dakwaan itu tidak memadai kerana pendedahan oleh CIA itu mempunyai asas beserta dengan dokumen lengkap.
Kata beliau, rakyat berhak mendapat cerita sebenar mengenai perkara itu, memandangkan ketika kes berkenaan Dr. Mahathir adalah Perdana Menteri.
“Saya cabar Dr. Mahathir mengambil tindakan undang-undang terhadap CIA jika benar-benar tidak terbabit. Sekadar menafikan kononnya pendedahan CIA itu bertujuan untuk merosakkan imejnya, bagi saya bukan jawapan yang kukuh.
“Dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), walaupun penjelasan diberikan pihak kerajaan, berapa banyak penafian dikeluarkan dan jelas dengan fakta, namun beliau tidak menerimanya dan tetap menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan isu itu.
“Begitu juga dalam isu CIA, Dr. Mahathir perlu telus. Beliau perlu bertindak seperti mana desakannya terhadap Najib. Jangan ada ‘double standard’ bila terkena pada diri sendiri,” katanya kepada wartawan pada Program Ziarah Kasih anjuran Yayasan Jamin di Selayang hari ini.
Pada program itu, Sohaimi menziarahi pemimpin masyarakat dan rakyat kurang berkemampuan serta menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Tionghua sekitar kawasan itu sempena Sambutan Tahun Baru Cina. – MalaysiaGazette