KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) meneruskan kemeriahan sambutan ulang tahunnya yang ke-71 dengan menganjurkan Konsert mini ‘Dimensi Legenda’ malam ini.
Konsert selama dua jam yang disiarkan secara langsung menerusi TV2 RTM dari Auditorium Perdana Angkasapuri itu adalah juga bagi merakamkan penghargaan buat para artis tanah air yang bergiat di sekitar era 60an hingga 90an.
Kehadiran para artis veteran popular seperti Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Nash, Ramlah Ram, Uji Rashid dan Francissca Peter mencetus nostalgia era berkenaan.
Mereka muncul ke pentas mendendangkan lagu-lagu ‘evergreen’ yang Tak Lekang Dek Panas, Tak Lapuk Dek Hujan.
Antara lagu-lagu yang menggamit memori dan menyemarakkan kenangan lalu para penonton ialah ‘Semakin Hari Semakin Sayang’ nyanyian Uji Rashid, ‘Ku Ke Udara Lagi’ (Francissca), ‘Pada Syurga Di Wajahmu’, ‘Tiada Lagi Kidungmu’ (Nash) dan ‘Kupendam Sebuah Duka’ (Khadijah).- BERNAMA