MARANG – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu lebih agresif membuat pemantauan terhadap longkang dan saliran air yang tersumbat bagi mengelak kejadian ‘banjir termenung´ ekoran tambunan tanah dibuat pemilik tanah persendirian.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri A Latiff Awang berkata ia didapati menjadi antara punca banjir termenung terutama di kawasan rendah selain pertembungan fenomena air pasang besar.
“Jika kita lihat 10 tahun dahulu banjir tidak berlaku sebab bila tiba musim hujan air mudah mengalir ke longkang dan parit besar seterusnya ke laut. Tetapi apa berlaku hari ini banyak kawasan banjir kerana saluran tersumbat ekoran tambunan tanah oleh pemilik-pemilik tanah.
“Jadi saya minta PBT dan agensi berkaitan terutama JPS membuat pemantauan ini secara lebih serius dan sebolehnya sebelum tiba musim banjir sebagai langkah pencegahan (fenomena banjir termenung),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Gasing, di sini hari ini.- BERNAMA