Home Utama PDRM perlu sedikit masa siasat RCI forex

PDRM perlu sedikit masa siasat RCI forex

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (tengah) diiringi Setiausaha PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin (hadapan, enam kanan) dan pegawai kanan bergambar kenangan dengan kontijen negeri yang menyertai Majlis Penutup Kejohanan Tenis dan Silat Piala Ketua Polis Negara 2017 di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, PULAPOL, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 03 DISEMBER 2017
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan sedikit masa untuk menyiasat secara teliti laporan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) berhubung kerugian urusniaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia sekitar tahun 90-an.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kertas siasatan telah dibuka sejurus selepas menerima laporan rasmi RCI minggu lalu sejurus selepas melengkapkan laporan berkenaan.
Pasukan siasatan khas itu diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Amar Singh telah ditubuhkan dengan pegawai-pegawai jabatan berkenaan, katanya.
“Dalam siasatan ini kita tidak boleh membuat keputusan secara terburu-buru siapa harus dipanggil termasuk orang kenamaan dan sebagainya.
“Polis kena berlaku adil dan memerlukan masa yang secukupnya untuk meneliti laporan yang dikemukakan oleh RCI.
“Jadi setelah meneliti semua keperluan, kita telah membuka kertas siasatan dibawha Seksyen 409 Kanun Keseksaan setelah laporan polis oleh RCI dibuat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Penutupan Kejohanan Tenis dan Silat Piala Ketua Polis Negara 2017 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Fuzi menambah, siasatan sedang dijalankan ketika ini dan terlalu awal untuk polis mengeluarkan komen mengenai perkembangan terbaharu.
“Tak payalah nak cakap siapa orang kenamaan yang akan dipanggil dan sebagainya ketika ini, sedangkan kita memerlukan masa siasat dulu, kita tahu apa perlu buat dalam kes ini,” ujarnya.
Mengenai kes kebocoran data peribadi kira-kira 46.2 juta pelanggan nonbor telefon mudah alih di Malaysia, Mohamad Fuzi berkata, polis ketika ini berdepan kesukaran untuk mengesan e-mel pemilik menggodam dan membocorkan data peribadi itu.
“Kita siasat menggunakan undang-undang polis dan juga akta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), tetapi masalah dalam melengkapkan siasatan itu kerana melibatkan alamat protokol internet (IP) menggunakan tiga negara iaitu Belanda, Oman danĀ  Hong Kong.
“Ini yang menyukarkan kita untuk melengkapkan siasatan dan polis sedang fokus ke arah itu dan mana-mana pihak terlibat akan didakwa,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette