KUALA LUMPUR – Manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) perlu mengandungi komponen khas yang menyediakan tawaran baharu untuk golongan muda, kata Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata pelbagai perkara seperti aspek perumahan dan keusahawanan perlu diberi keutamaan dan pertimbangan khusus dalam manifesto berkenaan bagi memberi keyakinan kepada mereka.
“Saya dalam usaha menyediakan idea-idea menifesto tersebut dan saya harap tawaran baharu itu dapat diterima oleh Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai sebahagian manifesto BN dalam PRU14.
“Tawaran baharu itu merangkumi aspek perumahan, keusahawanan, pekerjaan dan segala perkara lain yang ada dalam perbincangan Transformasi Nasional 2050 (TN50) akan diusulkan dalam tawaran tersebut,” katanya dalam wawancara sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.
Perhimpunan tahunan parti terbesar orang Melayu itu akan bermula Selasa ini.
Khairy berkata cabaran Pemuda untuk menarik pengundi muda adalah dengan menerangkan kepada mereka kejayaan BN dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, selain visi dan misi TN50 yang digubal dan dilaksanakan 30 tahun akan datang.
Menteri Belia dan Sukan itu berkata kerajaan melaksanakan pelbagai inistiatif, yang lebih efisien untuk membantu meringankan kos sara hidup termasuk membina rumah mampu milik serta meningkatkan pengangkutan awam, berbanding pemberian subsidi yang lebih bersifat jangka pendek (short term fixes).
Mengenai peranan Pemuda dalam PRU14, Khairy berkata sayap parti itu perlu mendekati pengundi muda khususnya yang pertama kali mengundi kerana mereka dilihat tidak mempunyai komitmen kepada mane-mana parti politik.
“Daripada segi pemahaman isu mungkin perlu ditingkatkan lagi. Mereka mungkin hanya terdedah kepada satu pihak sahaja, cenderung untuk membaca sebelah pihak… cabaran adalah untuk membuka fikiran mereka supaya mereka tidak anggap apa yang disampaikan pihak lawan sebagai perkara yang betul.
“Kita mesti mengingatkan barisan Pemuda bahawa pertaruhan PRU14 sangat besar, ibu kepada segala pilihan raya umum kerana kita nak mencorakkan TN50 dan siapa yang menang dalam pilihan raya ini akan menentukan masa depan Malaysia dalam jangka masa panjang,” tegasnya.
Menyentuh calon Pemuda bagi PRU14, Khairy secara ringkas berkata bilangan calon muda pada pilihan raya sebelum ini agak kecil dan berharap senarai calon kali ini akan lebih seimbang meliputi segenap latar belakang.- BERNAMA