KUALA LUMPUR – Perjalanan 71 tahun wanita UMNO dalam arena politik negara akhirnya dibukukan bagi mengenang jasa dan perjuangan sayap itu.
Bertemakan Srikandi Negara, ia dirasmikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Bertajuk ‘Daripada Sayap Kepada Tulang Belakang’ dan ‘Ibu Terbaik Bangsa’, ia merangkumi sejarah dan susur galur perjuangan wanita sehingga diberikan jolokan ‘tulang belakang UMNO’.
Buku ini merupakan edisi kedua dan ketiga terbitan Pergerakan Wanita UMNO.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu, Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Mohd Najib Tun Razak dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Bagi edisi kedua, ia mencatatkan perjalanan Srikandi Negara terdahulu, semasa dan akan datang dalam mengarusperdanakan Wanita UMNO.
Manakala edisi ketiga “Ibu Terbaik Bangsa” menjadi manifestasi wanita UMNO untuk terus mengangkat perjuangan wanita untuk tahun-tahun akan datang.
Buku ini juga menjadi panduan generasi akan datang mempertahankan parti dan negara.
Ia akan diagihkan kepada semua perwakilan yang hadir dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ke-71 yang akan berlangsung esok sehingga Sabtu depan. -MalaysiaGazette.