PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menambah 30 lagi balai bomba yang dijangka beroperasi menjelang penghujung tahun depan
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar berkata, seiring dengan penambahan balai bomba baharu itu, bilangan anggota dan asetnya juga akan dipertingkatkan mengikut peruntukan Bajet 2018.
“Kita dalam menyusun peralatan dan anggota sedia ada yakin sementara mendapat penambahanm anggota dan peralatan, bomba akan meneruskan tugas di bangunan baharu itu apabila beroperasi menjelang penghujung tahun 2018.
“Bagi tujuan penambahan anggota baharu yang diperlukan sekitar 960 anggota baharu, kita sudah memohon Jabatan Perkhidmatan Awam berikutan 30 balai bomba baharu,” katanya pada sidang media Perhimpunan Bulanan KPKT di bangunan kementerian hari ini.
Dalam majlis sama Jabatan Bomba dan Penyelamat memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan SWCorp bagi meningkatkan kerjasama antara kedua-dua pihak.
Antaranya membabitkan menyediakan maklumat mengenai permasalahan di lapangan yang melibatkan keselamatan dan kebersihan, melaksanakan tanggungjawab sosial, penerapan amalan kebersihan dan budaya guna semula, pengurangan dan kitar semula (3R).
Selain itu MoU berkaitan penswastaan antara KPKT dan Yayasan Melaka bagi melaksanakan projek tukar guna tanah Jabatan Bomba dan Penyelamat di Cheng, Melaka turut dimeterai.
Dalam perkembangan berkaitan, Noh memberitahu, penambahan anggota dan balai bomba baharu itu sejajar dengan cabaran yang dihadapi jabatan tersebut.
Justeru katanya, tahun ini benar-benar menguji kekentalan mental dan fizikal jabatan itu, khususnya kebakaran beberapa sekolah tahfiz selain kejadian tanah runtuh dan banjir di utara semenanjung.
“Kesemua perkara ini mewujudkan keperluan kementerian memberi keutamaan kepada bomba dalam memastikan mereka sentiasa bersiap siaga dengan peralatan canggih selaras dengan kehendak situasi semasa,” tegasnya. – MalaysiaGazette