KUALA LUMPUR – Jangan terpedaya dengan perangkap saat-saat akhir pembangkang menjelang PRU-14.
Itu nasihat Naib Presiden yang memangku jawatan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada ahli-ahli penerangan parti untuk bersedia menghadapi cabaran.
Menurutnya, perangkap terakhir pembangkang seperti isu warga Bangladesh jadi pengundi hantu dan isu black out pada PRU lepas harus dijadikan pengajaran.
“Apa yang berlaku dulu membuatkan kita terkapai-kapai dan mereka mengulangnya seolah-olah ia berita betul malah ada ahli kita sendiri pun percaya.
“Jadi kita perlu ada langkah pre entive untuk menanganinya jika berlaku lagi menjelang PRU-14,” ujarnya ketika merasmikan Konvensyen Penerangan dan Media: Istiqamah Dalam Perjuangan di PWTC hari ini.
Timbalan Perdana Menteri itu juga menegaskan kaedah terkini seperti media sosial dan ceramah secara real time mesti jadi amalan ahli-ahli parti menangkis dakyah pembangkang dalam bentuk berita palsu.
Ahmad Zahid juga menasihati pemimpin UMNO peringkat bahagian dan cawangan supaya jangan memsabotaj parti.
“Sekuat mana jentera pun apabila ada sabotaj atas dasar frust..ini realiti. Walaupun dah berpeluk dan cium mulut atas pentas namun balik lain cerita, ramai sangat tukang kipas dan orang cucuk.
“Wahai ahli-ahli UMNO jangan terjelepuk kali ketiga. Kita kena bangkit dan bangun,” katanya.
Beliau mengaku ada menerima banyak masalah dalaman termasuk ada ketua bahagian marah tidak jadi wakil rakyat, ada ketua bahagian takut dengan kepada ketua pemuda yang berpotensi melawannya dan sebagainya.
Sambil bergurau, Ahmad Zahid berkata, ada juga kes ahli puteri menarik minat pimpinan bahagian dan akhirnya isteri ketua bahagian sabotaj parti.
Beliau juga akan memperkasakan konsep Get Out The Voters (GOTV) kepada kepimpinan peringkat bawah UMNO bagi menarik minat pengundi baharu menyokong UMNO.
“Cukuplah kita diasak ke dinding dua kali kerana rasa selesa selepas PRU-11 dan tuhan uji kita dua kali dalam PRU-12 dan PRU13.
“Kalau PRU-14 ini kita gagal dalam ujian ketiga ini, kita tempah maut dan UMNO akan hanya dicatatkan dalam buku sejarah,” katanya.-MalaysiaGazette