Home PAU 2017 Pembahas bukan tiket untuk popular – Mas Ermieyati

Pembahas bukan tiket untuk popular – Mas Ermieyati

Mas Ermieyati Samsudin
Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Jangan jadi jurucakap semata-mata mengejar populariti sebaliknya mesej yang mahu disampaikan perlu bernas dan bermaklumat apabila berada di pentas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017.

Demikian kata Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sambil menegaskan, pentas PAU 2017 perlu dimanfaatkan sepenuhnya kerana ia sangat bermakna sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Saya mengharapkan jurucakap sama ada Puteri mahu pun Wanita UMNO harus menggunakan pentas ini sebaik mungkin.

“Kita bukan hanya nak popular semata-mata dan sebagainya harap mereka dapat manfaatkan sebaik mungkin pentas ini dalam PAU yang kita kira sangat penting dan sangat bermakna untuk ahli UMNO,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Naib Presiden memangku tugas Timbalan Presiden  UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan pidato sambil diiringi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kanan) dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (empat kiri) dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermiyanti Shamsudin pada Majlis Jamuan Makan Tengahari Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 05 DISEMBER 2017

Terdahulu beliau menghadiri majlis makan tengahari bersama semua pemimpin sayap parti yang dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Tun Razak 1 PWTC di sini.

Mas Ermieyati juga berkata, pelantikan pemimpin UMNO menjadi jurucakap pada PAU12017 ini adalah sebagai penghargaan kepada mereka yang telah menjadi pemimpin bahagian sejak sekian lama dalam parti.

“Apabila mereka dipilih menjadi jurucakap, itu adalah penghormatan kepada mereka sepanjang mereka menjadi pemimpin dalam UMNO.

“Tak semua dapat peluang untuk menjadi pembahas atau jurucakap di atas pentas PAU setiap tahun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.