Home Nasional Harap Tahun Ayam bawa inspirasi, semangat lebih baik – Tiong Lai

Harap Tahun Ayam bawa inspirasi, semangat lebih baik – Tiong Lai

Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR – Tahun Ayam yang disambut pada Tahun Baru Cina diharap dapat membawa semangat dan insipirasi lebih baik kepada rakyat Malaysia.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, harapannya itu selari dengan maksud Tahun Ayam yang akan memberi semangat dan inspirasi baharu kepada rakyat bagi memastikan negara terus aman dan makmur.

“Tahun Ayam ini secara simbolik menandakan setiap warga negara ini kena bangun awal, dengan semangat baharu dan bekerja keras menyatupadukan tenaga dan secara positif dalam membina negara.

“Oleh itu, dengan mengambil semangat ayam yang sentiasa aktif, marilah sama sama-kita meningkatkan perpaduan untuk membina negara ke arah kejayaan,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA di sini.

Beliau kata, Tahun Baru Cina di Malaysia begitu unik kerana ia diraikan oleh rakyat berbilang kaum.

Majlis sambutan Tahun Baharu Cina itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional.

Sementara itu, orang ramai tiba di Wisma MCA, Jalan Ampang seawal 7.30 pagi untuk menyertai Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA yang disambut dalam suasana meriah.

Majlis dimulakan dengan menggaul ‘Yee Sang’ yang dianggap membawa tuah dalam kalangan masyarakat Cina diikuti persembahan tradisional Cina. – MalaysiaGazette