MELAKA- Polis Melaka berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan sijil cuti sakit menggunakan nama sebuah klinik kesihatan kerajaan selepas menyiasat dua suspek lelaki yang ditahan dalam dua serbuan di daerah Melaka Tengah, di sini, malam kelmarin.
Dilaporkan sindiket tersebut mula aktif sejak Jun lalu dan dipercayai telah menjual lebih 300 keping sijil cuti sakit palsu tertera ‘Klinik Kesihatan Peringgit’ kepada pelanggan dalam dan luar negeri ini pada harga antara RM10 hingga RM35 sekeping.
Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Sun Teoh Tia berkata, tangkapan ke atas suspek membawa kepada penemuan lima keping kertas dicop ‘Klinik Kesihatan Peringgit’ atas nama Rohaiza Roslan MBB (Malaya) bersama nombor pendaftaran penuh serta nombor siri sijil, sebelum turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha Y125R, kunci, sebuah telefon pintar dan satu dompet.
“Dalam tempoh sejam setengah selepas tangkapan pertama, polis berjaya menahan suspek kedua berusia 21 tahun yang dipercayai bertindak sebagai ketua sindiket di rumahnya di Peringgit Jaya, di sini.
“Hasil pemeriksaan di dalam bilik suspek kedua, polis merampas 10 keping kertas sijil cuti sakit palsu; tujuh keping kertas A4 warna kuning; satu set komputer termasuk monitor dan unit pemprosesan komputer (CPU) jenama Lenovo serta sebuah mesin pencetak.
“Satu cop bulat bertulis ‘Klinik Kesihatan Peringgit 75400 Melaka; satu cop tarikh dan cop kayu bertulis ‘R. Rohaiza Roslan Mbb (Malaya) Pegawai Perubatan Ud 54,” katanya.
Mengulas lanjut, Teoh Tia berkata, pihaknya kini memburu beberapa lagi suspek yang masih bebas dalam masa sama tidak menolak jumlah hasil jualan sijil cuti sakit oleh sindiket itu mencecah RM10,500.
Suspek pertama kini direman tiga hari sehingga esok, manakala suspek kedua direman selama empat hari sehingga Jumaat ini. -MalaysiaGazette