SEOUL – Pyongyang tidak akan mengelak peperangan dengan Amerika Syarikat (AS) walaupun ia tidak mahukannya, lapor media Korea Utara hari ini.
Seorang jurucakap Kementerian Luar Korea Utara berkata, kenyataan agresif pegawai AS terhadap neggaranya dan latihan ketenteraan secara besar-besaran antara Seoul dan Washington menunjukkan AS mengambil pendekatan ‘setapak demi setapak’ untuk melakukan provokasi peperangan terhadap semenanjung Korea, lapor agensi berita Yonhap.
“Kami tidak mahu peperangan tetapi tidak akan sembunyi daripadanya, dan jika AS tersilap percaturan dalam menguji kesabaran kami dan menyalakan sumbu peperangan nuklear, sudah pasti kami akan membuatkan AS membayarnya dengan kuasa nuklear yang diperkukuhkan secara konsisten” lapor Korean Central News Agency (KCNA) dalam bahasa Inggeris.
Ancaman itu timbul selepas Korea Selatan dan AS melancarkan latihan ketenteraan bersama, dikenali Ace Vigilant, selama lima hari bermula Isnin lalu dengan penglibatan pesawat pengebom, B-1B Lancer dan pesawat pejuang stealth, F-22 Raptor. – MalaysiaGazette