Home Nasional Isu Baitulmaqdis: TPM bimbang umat Islam guna kekerasan

Isu Baitulmaqdis: TPM bimbang umat Islam guna kekerasan

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berbincang sesuatu sebelum bermula sidang media pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 ke 71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 07 DISEMBER 2017.
KUALA LUMPUR – UMNO tidak menolak kemungkinan umat Islam di Timur Tengah akan menggunakan kekerasan sekiranya Amerika Syarikat (AS) terus mengiktiraf cadangan pemindahan pusat pentadbiran Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, Palestin.

Naib Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi khuatir apabila tindakan kekerasan itu akan melibatkan kumpulan ekstrem di negara-negara berkenaan.

“Kekhuatiran saya ialah apabila perkara ini berlaku, akan berlaku semua pergolakan politik di Timur Tengah.

“Negara-negara Islam juga berasa sensitif terhadap persoalan pemindahan ibu kota Israel ini, saya fikir orang-orang Islam tidak akan pernah berdiam diri bukan hanya memprotes atau membantah saja.

“Saya khuatir, jika mereka yang berada dalam kumpulan ekstrem akan mengambil tindakan yang kita tidak pernah jangkakan,” katanya pada sidang media pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Semalam, Presiden AS, Donald Trump mengiktiraf cadangan Israel untuk memindahkan ibu kota negara haram itu dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Pengisytiharan itu disambut kritikan daripada pelbagai pemimpin negara Islam dan Timur Tengah sekaligus ia mengakhiri tempoh tujuh dekad ketidaktentuan diplomatik mengenai status bandar suci terbabit, yang didakwa dimiliki Israel dan Palestin.

Ahmad Zahid juga berkata, kepimpinan tertinggi UMNO telah menemui pemimpin parti Fatah dan Hamas dari Palestin bagi mencapai kata sepakat berhubung perkembangan terkini Baitul Maqdis itu.

“Dalam soal ini, kedua-dua parti mungkin berbeza pendapat perlu bersatu hati bahawa tindakan diambil oleh AS untuk menidakkan tindakan sekutu besar mereka.

“Pemindahan ibu kota Israel itu harus ditentang bukan hanya oleh rakyat Palestin tetapi umat Islam keseluruhannya kerana ia bukan soal Islam saja, ini adalah soal kesejagatan,” katanya.

Katanya lagi, UMNO juga akan berunding bukan sahaja parti komponen Barisan Nasional (BN) bahkan parti dan pihak lain untuk menganjur perhimpunan besar-besaran sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin dalam isu itu.

“UMNO juga akan bersama-sama dengan NGO untuk kita mengadakan sebuah perhimpunan solidariti bagi bersama-sama menyatakan keprihatinan rakyat Palestin dalam menghadapi cabaran paling besar,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, isu Palestin bukan perkara baharu bahkan ia sudah lama diperjuangkan parti itu.

“Keputusan Presiden Trump dan AS bukan sahaja tidak dipersetujui malah kita tentang. Ini sesuatu yang perlu disemarakkan dan isu ini cukup dekat dengan hati kita dalam perjuangan UMNO dan BN.

“Apa yang dilakukan hari ini saya tengok ucapan dasar presiden pagi tadi sebenarnya memberi kesempatan kita menyuarakan pendirian kita sejelas-jelasnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette