KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak puas hati kakitangan yang diberhentikan pada tahun 2018 akan hanya menikmati Skim Insurans Pekerja (SIP) sebanyak RM600 sahaja.
Setiausaha Agung MTUC, J. Solomon berkata, kadar bayaran sebanyak RM600 sebulan untuk maksimum selama tiga bulan bagi tahun 2018 adalah terlalu rendah bagi isi rumah untuk terus hidup dan juga untuk orang dewasa.
“Kami tidak pasti atas dasar apa Perkesa mengesyorkan RM600, sedangkan gaji minimum semasa adalah sebanyak RM920 untuk Sabah dan Sarawak dan RM1,000 di Semenanjung Malaysia.
“MTUC sedar walaupun kutipan dilakukan pada tahun 2018 tetapi kerajaan bercadang untuk membayar hanya pada tahun 2019.
“Dengan pengambilan minimum sebanyak RM50 juta sebulan dari kedua-dua majikan dan pekerja bermula pada Januari 2018 dan sebagai tambahan kepada sumbangan oleh kerajaan untuk 2018, MTUC tidak melihat sebab yang kukuh mengapa pembayaran pada kadar itu sepatutnya menjadi asas minimum dan bukannya RM600 yang disebutkan oleh Perkeso,” katanya dalam kenyataan di sini.
Katanya, Perkeso juga harus menimbang semula pembayaran kepada pekerja-pekerja kontrak kerana pekerja-pekerja juga menyumbang kepada SIP dan mereka juga perlu
mencari kerja lain apabila kontrak mereka tamat dan untuk tempoh interim.
SIP sepatutnya membantu pekerja-pekerja terbabit, apalagi tujuan SIP adalah membantu mereka yang akan dihenti kerja.
MTUC yang menyambut baik pembayaran SIP itu berkata, skim itu tidak boleh dianggap sebagai satu hadiah kerana ia perlu ada satu jumlah yang munasabah bagi pekerja yang menjadi benefisiari memandangkan mereka adalah penyumbang kepada SIP.
Dalam kenyataan itu, MTUC turut melahirkan rasa terkejut apabila Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso telah dimaklumkan oleh Jabatan Tenaga Kerja mengenai anggaran jumlah pekerja yang akan diberhentikan pada tahun 2018.
Datuk Dr Mohammed Azman Aziz menjangkakan seramai 57,282 akan diberhentikan dan akan mendapat manfaat daripada Skim Insurans Pekerja (SIP).
Solomon berkata, dalam keadaan biasa, majikan akan memberitahu Jabatan Tenaga Kerja sekurang-kurangnya 30 hari sebelum pemberhentian kerja dan Jabatan Tenaga Kerja kemudiannya perlu melihat justifikasi permintaan mereka.
Menurutnya sejumlah 57,282 pekerja yang dijangka diberhentikan adalah sesuatu yang membimbangkan MTUC dan ia tidak selaras dengan pengumuman kerajaan baru-baru, yang mana KDNK berkembang sekitar 6.2 peratus dan ekonomi Malaysia dalam keadaan baik.
– MalaysiaGazette