KUALA LUMPUR – Orang ramai yang berkunjung di Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini berpeluang menikmati roti canai dan teh tarik percuma.
Ia merupakan sumbangan Ketua Bahagian Permatang Pauh, Datuk Zaidi Said dan diurus oleh Presiden NGO No.1 Malaysia, Mohd Ali Baharom.
Roti canai dan teh tarik berkenaan dihidangkan kepada orang ramai menggunakan sebuah food truck yang diletak di hadapan Hotel Seri Pacific bersebelahan PWTC.
Mohd Ali atau lebih dikenali dengan gelaran Ali Tinju berkata, roti canai dan teh tarik percuma itu akan diberi bermula hari ini hingga hari terakhir perhimpunan berlangsung Sabtu nanti bermula 9 pagi hingga 7 malam.
Katanya, hari ini setakat pukul 6 petang, lebih 2,500 keping roti canai dan teh tarik telah diberikan kepada pengunjung yang singgah.
Katanya, jumlah itu akan ditambah lagi berikutan mendapat permintaan yang menggalakkan daripada pengunjung.
“Kita telah banyak kali memberikan roti canai dan teh tarik percuma ini setiap kali perhimpunan sejak beberapa tahun lalu.
“Kami menyediakan makanan ini bermula jam 9 pagi dan pengunjung boleh datang mengambilnya pada bila-bila masa sehingga makanan habis,” ujarnya. – MalaysiaGazette