KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan pembinaan jalan raya bergetah menggantikan jalan raya tar di bandar dan beberapa lebuh raya terpilih di negara ini.
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (MPIC), Datuk Seri Mah Siew Kiong berkata, penggunaan jalan raya bergetah menggantikan jalan tar bitumen itu diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dilaksanakan segera dalam masa dua bulan lagi dengan skala besar.
Katanya, keputusan itu dicapai selepas hasil penyelidikan ke atas jalan raya menggunakan getah iaitu getah saki baki (skrap) yang mana hasilnya terbukti berkesan dan kos penyelenggaraan yang lebih murah untuk jangka masa panjang walaupun kos permulaannya 60 peratus lebih tinggi.
“Kami akan membina jalan raya bergetah itu menggantikan jalan tar dalam dua bulan lagi di jalan kecil, di dalam bandar dan beberapa lebuh raya terpilih dan lokasinya juga telah dikenalpasti.
“Sebanyak RM3 juta telah dibelanjakan untuk penyelidikan terbabit yang teknologinya terbukti berkesan. Jalan bergetah ini juga tahan lasak dan mampu menambah muatan lebih oleh lori.
“Kami sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melaksanakan pembinaan jalan bergetah itu,” katanya pada sidang media di majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Gerakan di PGRM Cheras di sini.
Tambah beliau, teknologi jalan bergetah adalah antara usaha berskala besar kerajaan di bawah Kepimpinan Najib yang mahu membantu rakyat khususnya lebih 1.2 juta pekebun getah dan kelapa sawit supaya bermanfaat dengan harga kedua-dua komoditi itu terus mampan dan seimbang.
Presiden Gerakan itu juga berkata, perdana menteri mengarahkan kementeriannya, MPIC, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta KKLW supaya bekerjasama meningkatkan usaha bagi memastikan kelapa sawit dan getah berharga seimbang tanpa jatuh di pasaran selain permintaannya sentiasa meningkat.
Bagi meningkatkan permintaan minyak kelapa sawit dan pelaburan asing terhadap komoditi itu, beliau akan mengadakan lawatan kerja lima hari ke Iran dan India untuk membincang dan memuktamadkan urusan pelaburan ke atas minyak kelapa sawit.
Ujarnya, kabinet tiga hari lalu meluluskan pejabat minyak kelapa sawit di Iran yang akan dibuka tahun ini selain meluluskan pembukaan Pusat Penyelidikan dan Teknikal Kelapa Sawit di Mumbai India untuk mendidik dan menangkis tanggapan negatif mengenai minyak sawit yang didakwa tidak sihat untuk kesihatan pengguna.
“Ini penting kerana kita hendak membuka pasaran supaya lebih banyak pelabur membeli minyak sawit kita.
“Bayangkan negara kita mengeksport minyak sawit bernilai RM1 bilion ke Iran dengan cukai sebanyak 40 peratus, tetapi minyak soya dari Amerika Syarikat selaku pesaing kita dibeli Iran dengan RM5 bilion dengan kadar cukai 20 peratus sahaja.
“Jadi adalah penting kita membincangkan dan meningkatkan pelaburan asing kita dan untuk itu saya akan pergi ke Iran dan India dan bertemu empat menteri Iran dan mendidik mereka dan membuktikan tanggapan mereka salah.
“Pembukaan pusat penyelidikan di sana akan membantu kita menstabilkan komoditi kita supaya lebih mampan,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette