KUALA LUMPUR – Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong menyifatkan tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mengajak Gerakan untuk berbincang untuk membebaskan Malaysia daripada menjadi kleptokrasi sebagai satu sandiwara.
Katanya, jemputan Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah itu tidak ikhlas.
“Parti tidak akan melayan gelagat Lim Kit Siang kerana pemimpin itu menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Gerakan menerusi sidang akhbar.
“Itu tidak menunjukkan keikhlasannya, saya rasa ia hanya sandiwara Kit Siang.
“Sekiranya dia ikhlas, sepatutnya menghantar surat rasmi secara sendiri kepada saya untuk membincangkan isu itu,” katanya pada sidang media di Rumah Terbuka Tahu Baru Cina petang ini.
Bara-baru ini, Kit Siang menerusi sidang media mengajak Gerakan dan MCA duduk semeja dengan DAP dan berbincang mengenai kaedah membebaskan negara daripada menjadi kleptokrasi dunia.
Namun ia disifatkan sebagai langkah terdesak DAP menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 yang diramalkan diadakan pada tahun ini. – MalaysiaGazette