KUALA LUMPUR – Biro Antarabangsa Pemuda UMNO Malaysia menyambut baik pendirian Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak yang menolak sekeras-kerasnya pengiktirafan Baitulmaqddis sebagai ibu negara Israel.
Pengerusinya, Mohamed Hazali Abu Hassan berkata, Amerika Syarikat tidak seharusnya membuat keputusan ini secara unilateral tanpa mengambil kira pelan damai melalui meja rundingan multi-lateral oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Kami mempersoalkan kebijaksanaan pengiktirafan ini kerana ianya hanya akan mengundang lebih banyak masalah daripada kebaikan.
“Kami pasti bukan hanya negara-negara Islam yang tidak setujutetapi reaksi yang sama akan diutarakan oleh lebih banyak lagi negara dari seluruh dunia kerana ianya akan terus mengundang masalah kepada ketidakstabilan, keselamatan dan keamanan global,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut beliau, adalah lebih wajar proses keamanan di antara Palestin dan Israel di buat melalui proses rundingan multilateral dengan mengambil kira sebanyak mungkin kepentingan dan hak-hak kedua negara dan bukannya diputuskan oleh Amerika Syarikat.
Sehubungan itu, beliau menyeru PBB segera membuat keputusan bersama dan menolak hasrat dan keputusan Amerika Syarikat terhadap pengiktirafan Baitulmaqddis. – MalaysiaGazette