KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Indera Mahkota kesal apabila pembangkang menggunakan isu kilang Lynas untuk menggagalkan usaha murni Kerajaan Barisan Nasional dalam menjana ekonomi penduduk setempat.
Jurucakap UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Suhaimi Sulong berkata, kilang Lynas yang menyediakan peluang pekerjaan termasuk penyokong pembangkang digagalkan hanya kerana hujah dangkal Pakatan Harapan.
“Kilang Lynas yang memproses nadir bumi untuk menghasilkan produk antaranya skrin telefon pintar dan lampu kalimantan seperti mana di rumah, ianya cukup besar, bajetnya cukup besar disediakan.
“Malahan mereka yang bersama pembangkang turut diberikan peluang pekerjaan, ianya telah menyumbang kepada ekonomi untuk negeri dan negara
“Walaupun rakyat tampak lebih rasional, tapi akhirnya mereka tetap menghukum kita di Parlimen Indera Mahkota, khususnya di Kuantan,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Katanya lagi, walaupun kilang Lynas menyumbang pelbagai kebaikan kepada semua peringkat masyarakat, namun pembangkang terus berhujah berteraskan fiksyen hingga rakyat termakan hasutan mereka.
“Pihak pembangkang mengatakan semua hidupan liar mati, sungai dalam daerah Kuantan akan mati, dengan hujan radioaktif, mungkin berlaku letupan yang akan menelan seluruh Kuantan.
“Sudah terang lagi bersuluh, pihak pembangkang makanannya fitnah, minumannya adu domba, ayuh jangan biarkan mereka bermaharajalela,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.