KUALA LUMPUR – Mahasiswa di negara ini mengutuk sekerja-kerasnya tindakan sesetengah pemimpin pembangkang yang menghina institusi beraja di negara ini.
Perkara itu diketengahkan wakil mahasiswa di seluruh negara, Mohd Rizal Abdul Fatah di Perhimpunan Agung UMNO (PAU2017 hari ini.
Dalam ucapannya di hadapan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, Mohd Rizal berkata, tindakan golongan pembangkang ini boleh disifatkan sebagai tidak bertamadun.
“Tindakan beberapa pemimpin pembangkang dan bekas negarawan menghina Sultan dan Raja-raja adalah tidak bertamadun dan harus dibendung agar generasi muda tidak terpengaruh dengan perbuatan melampau ini.
“Biar generasi muda dididik nilai murni dan tatasusila. Rakyat dan Raja berpisah tiada. Daulat Tuanku,” katanya dihadapkan 2,718 perwakilan UMNO.
Terbaharu, bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zaib Ibrahim enggan memohon maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung tweet beliau terhadap baginda.
Zaid yang kini menjadi ahli DAP berkata, beliau tidak akan melakukan sebarang kesalahan dengan memuat naik status berkenaan dan sedia untuk disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Lantaran itu, kerajaan Barisan Nasional (BN) digesa agar mewujudkan subjek kedaulatan institusi beraja bagi mengekang sifat negatif yang mempersendakan institusi beraja di negara ini.
“Bagi memastikan negara ada pewaris yang bertamadun dengan Rukun Negara, mahasiswa berharap agar subjek kedaulatan Institusi Raja-raja dapat diperkenalkan Agar episod derhaka kepada Raja tidak berlaku lagi,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.