Home Rencana Bajau Laut berjuang demi kelangsungan hidup

Bajau Laut berjuang demi kelangsungan hidup

Kehidupan Bajau Laut tanpa disiplin, mereka bebas berbuat apa sahaja yang mereka suka. Laut dan pantai menjadi tempat mereka bermain dan mencari rezeki. Kesihatan dan kebersihan diri masih jauh ketinggalan.

 

SEMPORNA, SABAH – Kalau kita rasa kita susah, cuba jenguk di sekeliling kita betapa ramai lagi yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang untuk mencari sesuap nasi jauh sekali, untuk mengecap kemewahan.

Sesekali walau dimana kita berada luangkan sedikit masa untuk melihat ke bawah dan sedarlah sesungguhnya, rumput tidak semuanya hijau. Jinakkan hati kita dengan selalu mencari golongan yang kurang bernasib baik dan gembirakan mereka.

Menyedai kepayahan dan kesusahan hidup sesetengah anggota masyarakat yang tidak bernasib baik, Yayasan Qaseh ZY Phyto melalui program Kembara Qaseh ZYi Phyto terpanggil mengadakan lawatan ke beberapa buah pulau di Semporna, Sabah untuk mendekati mereka yang memerlukan perhatian.
.
Rombongan kami bukan untuk bercuti atau makan angina, tetapi sebenarnya ada  hajat yang ingin disempurnakan.  Mendekati dan menghayati kehidupan orang pulau dan   membawa rezeki dan buah tangan untuk mereka nikmati.

Seramai 14 krew dan sukarelawan diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif ZY Phyto, Zaidi Yusoff dan Pengarah Eksekutifnya, Sharifah Ameelia Akma terlibat di dalam program ini yang di adakan di Pulau Mabul, Sabah dan pulau-pulau sekitarnya, Timba Timba, Tatangan, Sibuan, Malaking, Maiqa dan Usunggan.

Rombongan menginap di Pulau Mabul selama 4 hari 3 malam untuk melunaskan hajat yang dibawa, melihat sendiri kehidupan Bajau Laut atau lebih dikenali sebagai Gipsi Laut, sekelompok etnik berasal dari Sabah dan Indonesia yang bermastautin di pula-pulau terpencil di Sabah.

Kami membawa bersama lebih kurang 300 bungkusan ubi kayu yang telah diproses menjadi seperti bingka. Ia merupakan makanan utama  Bajau Laut di samping, biskut, roti, minyak, gula kopi , jajan serta gula gula dan coklat untuk kanak-kanak. Lima kotak pakaian turut menjadi buah tangan yang kami  bawa.

Perjalanan sehari suntuk menaiki bot dari sebuah pulau ke sebuah pulau tidak terasa penat, malah kami sangat berpuas hati kerana berjaya melaksanakanya dengan mudah. Dari Mabul jarak menaiki bot ke pulau pulau berkenaan antara 30 hingga 45 minit.

Dilambung ombak dan pengalaman bot berhenti di tengah laut kerana enjin tersangkut sampah juga bukan perkara mudah untuk dilalui, tetapi semuaya Allah permudahkan

Terdapat hampir 2000 penghuni Bajau Laut di pulau-pulau berkenaan. Ada yang sudah menerima perubahan tetapi ada juga yang masih dalam keadaan tidak bertamadun tanpa pakaian (kanak-kanak) dan hanya berkemban (warga emas wanita).

Keseluruhannya mereka sudah menerima perubahan, berpakaian kemas, malah yang wanitanya juga sudah mula berdandan. Remaja perempuannya juga kelihatan berpakaian moden, skirt, jeans, t-shirt semntara yang dewasa berkain batik.

Wajah mereka juga kelihatan bertempek dengan bedak yang dibuat sendiri, beras campur kunyit yang ditumbuk dan kemudian disapu ke muka seperti bedak sejuk bagi menjaga kecantikan wajah.

Pandangan mata kasar saya mengesahkan hidup mereka tanpa disiplin, mereka bebas berbuat apa sahaja yang mereka suka.  Laut dan pantai menjadi tempat mereka bermain dan mencari rezeki. Kesihatan dan kebersihan diri masih jauh ketinggalan.

Ada yang masih tinggal dan menjadikan perahu sebagai  rumah. Ada yang membina rumah di dalam air dan ada yang memiliki rumah di darat (pulau). Sumber hidup adalah dengam menangkap ikan dan mencari daun daun kayu untuk dijadikan makanan dan ulam.

Sebut apa sahaja, ikan, sotong, udang, rumpai laut, gamat dengan mudah mereka boleh dapatkan. Kanak-kanak seawal berusia 7 tahun tidak kira lelaki perempuan sudah dibiasakan dengan laut.

Mereka menjadi hero dan heroin di laut, mencari rezeki untuk keluarga mereka. Tetapi mereka juga sudah menerima makanan luar seperti roti, biskut sebagai menu tambahan.

Dari kejauhan, sudah kelihatan kayak dan perahu yang didayung kanak-kanak Bajau Laut ini sedang menangkap ikan. Atau bermain sesama mereka sambil bergelak ketawa.

Suasananya nampak santai bagi mereka tetapi saya melihatnya dengan kening berkerut.

Keberanian mereka sangat luar biasa. Dalam usia masih muda mereka sudah bermain dengan ombak. Berada di tengah laut  sedikit pun tidak menakutkan mereka. Tidak nampak wajah cuak atau takut. Bayangkan juga bagaimana mereka yang tinggal di rumah di laut dan hanya bertiangkan kayu kayu dari  pokok yang mereka cari di hutan.

la dalam keadaan daif,  Bumbungnya pula dari daun nipah dan dedaun lebar atau pelepah kelapa yang disusun rapat-rapat. Sementara dindingnya dari buluh atau daun mengkuang. Dari atas boleh nampak jelas air laut dek lantainya yang jarang-jarang.

Terdapat kira-kira 15 buah rumah di setiap pulau dengan antara 100 hingga 200 penghuni terdiri daripada dewasa, remaja dan kanak-kanak.

Penulis menyerahkan sumbangan kepada penduduk.

Di Pulau  Makating, Usunggan, Tatangan, Maiqa keadaan agak mencabar kerana penghuninya sedikit agresif. Melihat sahaja bot kami menghampiri pulau, kelihatan kayak dan perahu didayung dengan laju ke arah kami.

Gementar juga apabila mereka seolah-olah mengepung bot  kami untuk mendapatkan apa yang kami bawa.

Disebabkan sukar untuk mendarat, sumbangan dilakukan dari dalam bot oleh Sharifah Ameelia Akma dan Zaidi Yusoff.…mujur pemandu bot, dan staff Koyak Outdoor Team boleh berinteraksi dengan mereka. Keadaan berjaya dikawal dan semua mereka mendapat habuan masing-masing sementara kanak-kanaknya gembira menjamah gula gula dan keropok yang selama ini sangat mereka dambakan.

Berbeza dengan di Pulau Sibuan, kehadiran kami lebih selesa apabila berpeluang naik ke darat dan menyerahkan makanan dengan lebih teratur. Penduduknya juga sangat peramah, walau tidak dapat bertutur dalam bahasa yang sempurna, kami tahu apa yang mereka hendak. Kehidupan Bajau Laut di sini juga agak mewah di lihat dari cara mereka berpakaian dan bergaul dengan kami.

Pada hari terakhir, krew Kembara Qaseh ZY Phyto mengadakan gotong royong membersihkan kawasan pulau bersama para pelajar madrasah Kampung Mabul dan penduduk kampung.

Zaidi dalam ucapan perasmian program gotong royong itu mengucapkan terima kasih kepada Ketua Kejiranan Pulau Mabul, Pengiran Mubin di atas kerjasama yang diberikan kepada  krew Kembara Qaseh ZY Phyto.

“Kami memilih pelajar madrasah Kampung Mabul kerana mahu memberi kelainan dalam kerja amal yang kami buat. Memandangkan pulau ini menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia, amatlah perlu kanak-kanak ini diajar supaya menghargai kebersihan tempat tinggal mereka. Sekaligus mendidik mereka menghargai dan memulihara keindahan pulau supaya tidak mencacatkan pemandangan pelancong yang datang.

“Mudah-mudahan apa yang kami buat ini akan menjadi amalam mereka seterusnya menjadikan usaha menjaga kebersihan pulau ini sebagai tanggungjawab mereka sehingga dewasa. Saya juga berharap penduduk di pulau ini turut memikul tanggungjawab menjaga kebersihan dan keindahan Mabul supaya tidak tercemar, “ kata Zaidi.

Seramai lebih kurang 100 pelajar terbabit dengan gotong royong ini . Mereka diberi insentif RM1 bagi setiap kilogram sampah yang berjaya dipungut.

Alhamdulillah berkat usaha dan semangat para pelajar hampir 600kg sampah berjaya di pungut dalam masa tidak sampai  3 jam. Mereka nampak bersemangat dan gembira melakukan kerja ini dalam suasana santai tetapi penuh dedikasi.

“Semoga selepas ini lebih banyak NGO akan mengambil bahagian dalam aktiviti sebegini dan semoga budaya menjaga kebersihan menjadi sebahagian dari budaya mereka, “ tambah Zaidi lagi.

Zaidi turut merakankan terima kasih kepada Team Kembara Qaseh yang amat komited dan berdedikasi,  juga kerjasama dari Koyak Outdoor Team. Tanpa sokongan kedua-dua team ini agak sukar hendak melaksanakan program yang mencabar ini.

Berkat usaha dan semangat para pelajar hampir 600kg sampah berjaya di pungut dalam masa tidak sampai 3 jam

Pengiran Mubin dalam ucapan balasnya melahirkan rasa bangga dan gembira kerana team Kembara Qaseh ZY Phyto memilih Pulau Mabul sebagai lokasi gotong royong.

“Saya gembira kerana para pelajar madrasah ini diberi pendedahan yang sangat berguna dan berharap ia akan menjadi amalan para pelajar itu kelak, “ kata Pengiran Mubin.

Sebelah malam, krew Kembara Qaseh telah bersolat Jemaah dengan para pelajar dan penduduk kampong. Sumbangan berupa makanan turut diberikan kepada penduduk kampujng di samping telekung dan wang tunai untuk Masjid Kampung Mabul.

Di akhir program, kesimpulan yang saya peroleh, tiada sumbangan yang terlalu kecil dan tiada usaha yang kurang bernilai. Tidak perlu menjadi kaya untuk menambah nilai kehidupan orang lain.  Cukup dengan usaha dan tindakan yang ikhlas. Yang penting nawaitu dan keikhlasan kita membantu. Banyak atau sedikit bukan ukuran.

“Kami kagum dan bangga kerana  ramai individu yang mengabdikan kehidupan mereka untuk manambah nilai kehidupan orang lain. Begitu juga Allah mengerakkan hati kami untuk menubuhkan Yayasan Qaseh ZY Phyto untuk menyalurkan bantuan melalui program seumpama ini,” jelas Zaidi.

Menurutnya program ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan teman teman di sekeliling dan juga staff ZY Phyto yang sangat komited dan prihatin.

“Setiap kali menyertai misi sebegini, jiwa kami akan menjadi lembut dan tenang. Kami hanya insan kerdil yang punya jiwa besar untuk melihat dunia yang lebih baik. Kita tidak mampu mengubah dunia tetapi sentiasa mengharapkan dunia ini akan berubah dengan banyaknya usaha-usaha kecil yang sebegini, “ tambahnya.

Semoga usaha kecil Yayasan Qaseh ZY Phyto ini  sedikit sebanyak dapat menggembirakan kehidupan orang Bajau Laut tersebut. Meredah lautan,  melompat dari pulau ke pulau (Tatagan, Maiga, Sibuan, Mataking , Timba Timba dan Usunggan) selama berjam-jam demi memenuhi hasrat kami menyantuni manusia unik ini merupakan satu pengalaman yang sangat berharga.

Di sebalik keindahan pulau-pulau dan kejernihan lautan serta warni warni kehidupan laut hingga dinobatkan antara lokasi menyelam  tercantik di dunia, tersimpan khazanah negara yang tidak pernah terdedah kepada dunia luar.

Melihat betapa sempitnya kehidupan mereka meruntun hati kami sekaligus membuatkan jiwa kita insaf betapa nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita cukup besar. Menyaksikan keghairahan mereka berebut-rebut menyambut bantuan yang dihulurkan,  mengingatkan betapa mewahnya kehidupan kita.

Bayangkan, ketika kita makan mewah dan membazir rezeki yang Allah kurniakan, mereka pula berebut-rebut mengambil bekalan makanan yang di hulurkan.

Bergenang air mata saya. Sebak rasa dada.  Sepanjang perjalanan balik, pertemuan dengan insan unik di pulau terasing di Sabah ini macam filem berputar di mata. Melihat ombak yang datang dan pergi, terfikir di minda saya, sampai bila mereka akan hidup begini.

Jawapannya sudah tentu tidak ada. Tapi inilah kegembiraan sebenar yang kami temui. Berkongsi rezeki dengan masyarakat  tanpa mengira bangsa atau agama, asal usul dan latar belakang. Mereka berhak menikmati hidup sama seperti kita.

Sayangnya mereka hanya insan kerdil tanpa pembelaan. Hidup antara pulau dan laut. Ke darat tidak diterima, di laut  hidup bahagia. Itulah keunikan mereka, Bajau Laut, pejuang di lautan.

Penulis, Normala Hamzah.

*Normala Hamzah bekas Pengarang Majalah Wanita terbitan Kumpulan Utusan – MalaysiaGazette