Home Kembara Ekspedisi Sadus-Edge of The World

Ekspedisi Sadus-Edge of The World

EODW pemandangan yang tidak pernah menjemukan.⁠

Oleh Dr Azlinor Sufian

RIYADH Entah sudah berapa lama saya tidak berkesempatan untuk menulis di ruangan Kembara ini. Kesibukan, tekanan kerja dan faktor –faktor lain yang tidak dapat dielakkan mebuatkan saya berdiam diri begitu lama.

Namun begitu jauh di hati kecil saya menyimpan harapan untuk kembali menulis di dalam Kembara Riydh. Saya sering menerima pesanan peribadi  dari rakan-rakan muka buku yang bertanyakan; mengapa tidak terus menulis?

Lanjutan dari itu saya mencari ilham dan cerita yang saya boleh kongsikan melalui Kembara Riyadh ini. Pada yang pernah membaca Kembara Riyadh, mungkin telah membaca mengenai pengalaman saya bersama suami, anak dan ”keluarga saya” di Riyadh merentasi padang pasir ke Edge of the World (EODW).

Antara puncak di EODW
Antara puncak di EODW

Boleh dikatakan tiap kali musim sejuk saya ke EODW ini. Walaupun pemandangannya sama, namun setiap kali perjalanannya, saya akan lalui pengalaman yang berbeza.

Kali ini suami saya berhasrat untuk ke EODW melalui jalan lain yang masih belum begitu popular . Jalan yang biasa dilalui ialah melalui Lembah Akasia, namun kali ini melalui jalan yang kami sebut sebagai Empangan Sadus.

Empangan Sadus. Aksi ketua kembara
Empangan Sadus. Aksi ketua kembara

Oleh kerana perjalanan ini diketuai oleh suami saya, maka sibuk lah dia dengan berbagai persediaan terutama koordinasi GPS, peralatan yang diperlukan dan itenari yang dikongsi bersama ahli konvoy yang lain.

Perancangan asal hanya sembilan buah kereta, namun akhirnya menjadi dua belas buah kereta setelah secara kebetulan bertemu dengan pengembara (Scotland) di Empangan Sadus yang berminat untuk menyertai kami.

Perjalanan menuju ke Sadus
Perjalanan menuju ke Sadus

Kalau kaum bapa sibuk dengan kelengkapan kereta, kaum ibunya pulak sibuk dengan menu  yang nak dibawa. Sesuatu yang sangat menarik apabila dapat berkongsi menu dengan sahabat-sahabat yang lain.

Penulis bersama sahabat-sahabat dalam kembara ditiup angin dingin.
Penulis bersama sahabat-sahabat dalam kembara ditiup angin dingin.

Bagi yang pertama kali menyertai kembara di padang pasir tentulah sangat teruja, manakala yang sudah agak “veteran” berkongsi maklumat melalui  “wassup group”.

Seawal jam 6.30 pagi kami memulakan perjalan dari  An Nuzhah, iaitu dirumah saya sebagai tempat berkumpul.  Perjalanan dari An Nuzhah  ke EODW ialah sejauh 204 .7 km. Jauh tu!  Jadi kami bercadang untuk berhenti sarapan di Empangan Sadus sebelum memulakan perjalan an ke EODW.

Tempat piknik dalam perjalanan pulang.
Tempat piknik dalam perjalanan pulang.

Pada masa kunjungan kami, Empangan Sadus mempunyai takungan air hujan. Pada waktu biasa, empangan ini kering kontang. Perjalanan dari An Nuzhah menuju ke pekan Sadus sangat menarik. Perjalanan  yang dimulakan pada awal pagi membolehkan kami menikmati keindahan alam pada waktu pagi dengan sinaran matahari yang mula keluar.

Cuaca pagi yang dingin menjadikan  perjalanan  terasa nyaman dengan pemandangan kiri kanan melewati ladang kurma dan kebun sayur, ladang jagung dan ladang kambing. Siapa kata tanah Arab kering kontang? Itu adalah persepsi yang sangat salah. Sebenarnya itu adalah persepsi saya sendiri sebelum berhijrah ke Saudi sekitar tahun 2013.

EODW pemandangan yang tidak pernah menjemukan.⁠
EODW pemandangan yang tidak pernah menjemukan.⁠

Kami menyangka perjalanan ke EODW merentasi padang pasir, rupanya kami merentasi sejauh 20.6 km padang berbatu kasar. Tiada siapa yang pernah berkongsi maklumat mengenai perjalanan ke EODW melalui Empangan Sadus ini. Kerisauan kereta akan tersangkut di dalam pasir tidak ada lagi, namun kebimbangan tayar kereta pancit kerana batu-batu kasar pulak yang menjelma.

Saya yang menjadi “co-pilot’ turut diam membatu, terasa bimbang kerana kami mengetuai sebelas kereta dibelakang kami. Radio dua hala digunakan dalam kembara ini kerana tidak ada perkhidmatan telefon di gurun batu ini. Kami melewati kawasan penggembala unta, maka sempat lah mengambil gambar unta yang berada di situ.

Edge of the World di Banjaran Tuwaig.
Edge of the World di Banjaran Tuwaig.

Sangat lazim bagi kami berhenti mengambil gambar unta walaupun sudah hampir penuh dalam kamera gambar unta. Sama seperti kalau ke Australia, kanggaro sahaja yang menjadi  tarikan. Kalau di Malaysia binatang apa ya? Tak mungkin panda kerana panda hanya disewa dari negara China.

Kami melewati satu kawasan batu yang berkilat. Apatah lagi apabila dipancari cahaya matahari. Belum pernah kami temui seumpama ini  di kembara ke tempat-tempat lain.  Saya tertanya-tanya adakah ini yang dikatakan “Saudi diamond”? Seorang sahabat memberi tahu ianya bukan “Saudi diamond” kerana ianya terdapat di kawasan lain.

Ahli rombongan
Ahli rombongan

Kerisauan perjalanan yang begitu lama akhirnya terubat apabila tiba di puncak EODW. Dari atas kelihatan nun jauh di bawah sana jejak jalan ke EODW jika melalui Lembah Akasia. Cadangan asal untuk balik melalui Lembah Akasia tidak dapat dipenuhi kerana tidak ada jalan selamat untuk turun ke bawah.

Baru lah kami tahu rupanya perjalanan ke EODW melalui Empangan Sadus merentasi gurun berbatu dan perjalanannya ialah mendaki bukit; manakala jika melalui Lembah Akasia ialah merentasi padang pasir dan tanah mendatar.

Perjalanan ke Sadus melewati ladang kambing.
Perjalanan ke Sadus melewati ladang kambing.

Ketika kami tiba angin sejuk agak kuat dan telah ada beberapa buah kereta di kawasan tersebut. Di dalam perjalanan pulang kami singgah berkelah dan barbekiu di tepi ‘sungai”. Cantik pemandangan disini. Kami bersolat zohor dan asar dan seterusnya maghrib dan isya di sini.

Memang sungguh penat perjalanan ini, namun semua terasa puas kerana dapat menikmati pengalaman baru. Terima kasih sahabt-sahabat semua……Mari kita rancang kembara ke tempat lain pula.

  • Dr. Azlinor Sufian merupakan pensyarah di salah sebuah universiti di Riyadh
  • MalaysiaGazette