Home Dunia Penduduk Jerman lebih percaya Rusia daripada AS – Kaji selidik

Penduduk Jerman lebih percaya Rusia daripada AS – Kaji selidik

BERLIN – Kaji selidik yang diterbitkan rangkaian penyiaran awam Jerman, ARD, menunjukkan rakyat Jerman lebih mempercayai Rusia berbanding Amerika Syarikat (AS).

Jenama AS juga dilihat mengalami nasib yang sama sejak Donald Trump menjadi Presiden AS pada tahun lalu.

Lebih ramai penduduk Jerman melihat Rusia sebagai rakan yang lebih dipercayai daripada AS, menurut kaji selidik yang diterbitkan semalam.

Kaji selidik yang membabitkan 1,004 orang oleh instutut Infratest menunjukkan 28 peratus responden berpendapat Moscow adalah rakan yang boleh dipercayai berbanding 25 yang diberikan kepada Washington.

Ia merupakan pertama kali kepercayaan awam terhadap AS menurun berbanding Rusia untuk tempoh sedekad, lapor DW.

Kaji selidik kepercayaan awam terhadap rakan global Jerman yang dilakukan Infraset pada Jun lalu mendapati kedua-dua negara setara pada 25 peratus.

Perancis dan Britain di pandang lebih baik pada kaca mata penduduk Jerman. Sebanyak 90 peratus responden berkata, Paris merupakan rakan yang boleh dipercayai manakala 60 peratus menyatakan Britain yang mahu keluar daripada Kesatuan Eropah adalah rakan yang boleh dipercayai.

Dapatan itu selari dengan penemuan undian oleh Pew Research Center pada Ogos lalu yang membuat kaji selidik mengenai keyakinan masyarakat terhadap pemimpin dunia.

Ketika 25 peratus penduduk Jerman yakin Presiden Rusia, Vladimir Putin, hanya 11 peratus yakin terhadap Trump. – Agensi