KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan terdapat pemain yang ‘besar kepala’ dalam skuad kebangsaan, sehingga menjejaskan prestasi pasukan negara.
Malah, Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu berkata, mentaliti pemain terbabit yang merosakkan prestasi dan masa depan skuad Harimau Malaya, turut bersikap sedemikian dalam pasukan dan kelab beraksi di Liga Malaysia (Liga-M).
“Semua pasukan dalam negara ini lalui perkara yang sama, anda mempunyai beberapa pemain senior yang menentukan kelab berkenaan, jadi tidak kira banyak mana bakat muda disenaraikan dalam skuad senior, sama ada kelab atau negara, mereka akan mempengaruhi kelompok ini.
“Itulah tanggungjawab setiap pasukan kelab dan negeri untuk mengenal pasti individu-individu berkenaan dan berusaha memastikan mereka boleh mengawal keadaan tersebut. Kita perlu merombaknya secara menyeluruh.
Berikutan itu, beliau berkata, tugas utama ketua jurulatih baharu Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe ialah mengubah mentaliti pemain yang mahukan kemenangan dalam setiap perlawanan. – MalaysiaGazette